OCPD Dang Wangi Cedera, Operasi Pengosongan Kampung Sungai Baru, KL Kecoh
Penduduk dilihat cuba menghalang pihak berkuasa daripada meneruskan proses pengosongan.
Cover image via Berita HarianFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Operasi pengosongan bangunan di Kampung Sungai Baru, Kampung Baru, Kuala Lumpur bertukar kecoh pagi ini apabila berlaku rempuhan oleh penduduk yang tidak berpuas hati dengan tindakan pihak berkuasa
Menurut laporan Berita Harian, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Suzilme Affendy Sulaiman, dilaporkan cedera di bahagian muka ketika cuba mengawal keadaan. Beliau dipercayai terkena rempuhan kumpulan penduduk yang mendesak untuk masuk ke kawasan operasi.
Difahamkan, kekecohan bermula apabila penduduk yang berkumpul sejak malam tadi cuba menghalang pihak berkuasa daripada meneruskan proses pengosongan dan perobohan rumah di kawasan berkenaan.
Operasi tersebut diketuai oleh bailif mahkamah dengan kerjasama beberapa agensi kerajaan selepas mendapat perintah mahkamah untuk merobohkan rumah-rumah yang masih berdiri.
Langkah itu diambil selepas proses rundingan antara pihak pemaju, kerajaan dan penduduk gagal mencapai persetujuan penuh, terutama berhubung isu pampasan dan penempatan semula.


Latar belakang isu Kampung Sungai Baru
Kampung Sungai Baru merupakan kawasan strategik berhampiran KLCC yang terlibat dalam projek pembangunan semula berskala besar merangkumi kondominium mewah dan pembangunan komersial.
Kerajaan menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 untuk mengambil balik tanah bagi tujuan pembangunan awam.
- Sebahagian penduduk setuju & terima pampasan – Ada yang bersetuju berpindah dan menerima pampasan, memberi laluan kepada kerja pembangunan bermula.
- Sebahagian enggan berpindah – Ada yang tidak bersetuju kerana mendakwa kadar pampasan terlalu rendah atau tidak setimpal dengan nilai hartanah di kawasan tersebut.
- Risiko keselamatan – Struktur rumah lama dan kerja pembinaan yang sedang berjalan dilihat membahayakan penduduk serta pekerja tapak projek.
Namun, projek ini turut menjadi isu kontroversi, dengan sesetengah pihak berpendapat bahawa nilai sejarah dan warisan Kampung Baru tidak seharusnya dikorbankan semata-mata demi pembangunan moden.
Ketegangan dijangka berterusan
Setakat ini, keadaan di lokasi masih dipantau pihak berkuasa bagi mengelakkan insiden yang lebih serius.
Pihak kerajaan dan pemaju sebelum ini memaklumkan bahawa kadar pampasan telah ditetapkan mengikut penilaian rasmi oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH).
Namun, selagi isu ini tidak diselesaikan dengan tuntas, ketegangan antara pihak berkuasa, penduduk, dan pemaju dijangka terus berlarutan, sekali gus memberi kesan kepada pelaksanaan Rancangan Kuala Lumpur 2040 (KL2040) yang menekankan transformasi bandar secara menyeluruh.
Dalam pada itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut memuat naik sebuah hantaran selepas insiden tersebut berlaku

Lihat video di bawah:
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



