Nourul Depp Dedah Buang Rahim & Ovari Akibat Kanser, Kini Kembali Dengan Konsert Solo Istimewa
Difahamkan, kansernya mula dikesan selepas menjalani pemeriksaan kesihatan dan menerima cadangan doktor untuk menjalani suntikan vaksin HPV selama enam bulan.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Penyanyi berpengalaman lebih tiga dekad, Nourul Depp, buat pertama kali berkongsi secara terbuka mengenai detik hitam yang pernah dilaluinya iaitu pembedahan membuang rahim dan ovari susulan diagnosis kanser pada 2018
Menurut laporan Berita Harian, Nourul, atau nama sebenarnya Noorulhuda Abdul Wahab, 48, mendedahkan perkara itu ketika sidang media 'Konsert For You: Nourul' dan menyifatkan tempoh tersebut sebagai antara cabaran terbesar dalam hidupnya.
Nourul berkata, kansernya mula dikesan selepas menjalani pemeriksaan kesihatan dan menerima cadangan doktor untuk menjalani suntikan vaksin HPV selama enam bulan. Namun keadaan bertambah buruk.

"Sejurus mengetahui saya menghidap kanser, doktor mencadangkan suntikan vaksin HPV selama enam bulan kerana ia lazim diberi kepada wanita yang menghadapi masalah di bahagian rahim.
"Tetapi selepas tempoh itu, kanser makin datang dan menyerang sehingga berubah daripada pra kepada tahap satu. Ia berlaku serentak dengan kehamilan Isabella (anak keempat). Kalau keadaan lebih teruk, memang saya takkan mampu mengandung," katanya.
Pernah ditipu sebanyak RM80,000 antara tekanan terbesar
Dalam masa sama, Nourul mendedahkan tekanan melampau yang ditanggung akibat ditipu sebuah syarikat tempatan pada 2018 turut menyumbang kepada penyakitnya.
"Syarikat itu berjanji menaja RM80,000 untuk album bahasa Perancis saya, tetapi saya diminta keluarkan duit sendiri dahulu untuk menghasilkan album tersebut.
"Kami sudah menandatangani perjanjian, jadi kami percaya. Suami pun dah keluarkan duit untuk semua kos. Tapi tak sangka akhirnya ditipu. Orang selalu takut kena tipu dengan warga asing, tapi rupanya orang sendiri yang buat.
"Mereka hilang begitu saja dan sampai hari ini saya tak terima pun RM80,000 itu. Itu memang antara dugaan paling besar dalam hidup saya," katanya.

Walaupun pernah melalui fasa penuh ketakutan, Nourul bersyukur kerana tindakan awal dan pemeriksaan kesihatan berkala membolehkannya pulih tanpa perlu menjalani rawatan kimoterapi.
"Itu sebabnya saya buat pemeriksaan kesihatan setiap tahun. Alhamdulillah, sekarang saya bebas kanser tanpa perlu menjalani kimoterapi," katanya lagi.
Kembali ke pentas besar April tahun depan

Selepas bertahun fokus kepada keluarga dan kesihatan, Nourul kini bersedia kembali ke pentas besar.
'Konsert For You: Nourul', anjuran Rong Geng Entertainment, akan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 17 April tahun depan, menjanjikan persembahan refleksi perjalanan kerjaya serta momen penuh emosi.
Tiket kini sudah mula dijual menerusi platform Ticket2u.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 