Niat Nak Bantu, Sekali Pasangan Kekasih Cedera Dipukul & Dirompak Rakan Baik
Difahamkan, rakan baik itu pernah dibantu dan diberikan tempat tinggal.

Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Niat sepasang kekasih untuk membantu rakan mereka yang dalam kesusahan bertukar menjadi perkara tidak diingini
Kenalan mereka itu telah membawa beberapa individu lain untuk merompak kediaman mereka di Kepong serta melarikan kereta.
Suspek yang menggunakan parang dan alat renjatan elektrik turut memukul pasangan itu sehingga cedera.
Menurut laporan dari Harian Metro, kejadian ini berlaku di tingkat empat sebuah rumah kedai di Bandar Manjalara, Kepong pada jam 6.38 pagi.
Mereka sedang tidur ketika kejadian berlaku
Mangsa perempuan dengan nama Chua, 32, berkata ketika kejadian itu dia dan teman lelakinya sedang tidur sebelum dikejutkan oleh lima individu terdiri dari empat lelaki dan seorang wanita telah memecah masuk ke dalam rumah mereka untuk merompak.
"Kami terdengar bunyi dentuman kuat dan mendapati pintu bilik ditendang.
"Selepas itu, lima individu yang membawa parang, alat renjatan elektrik dan kayu golf menyerbu masuk ke dalam bilik," katanya.
Chua mengatakan dia dan teman lelakinya terkejut dan tidak sempat bertindak ketika diserang dan mengalami kecederaan di badan.

Foto ihsan Chua
Image via Harian Metro"Demi keselamatan diri, kami terpaksa menuruti arahan mereka dengan menyerahkan semua barangan berharga termasuk wang tunai, telefon bimbit, kad pengenalan, kad bank serta kunci kereta milik seorang rakan yang disimpan di rumahnya.
"Mereka turut melarikan sebuah kereta Honda Civic berwarna perak milik rakan saya," katanya.
Salah seorang dari individu yang merompak itu adalah rakan baik teman lelakinya di mana mereka pernah beberapa kali membantu dan memberinya tempat tinggal.
Beberapa hari lepas, teman lelaki Chua telah bertengkar dengan rakannya itu dan dia telah berpindah keluar.
Mereka tidak menyangka, dia datang bersama individu lain untuk melakukan rompakan sehingga menyebabkan kerugian sebanyak RM6,000.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Basri Sagoni berkata, pihak mereka telah menerima laporan daripada mangsa pada jam 12.10 tengah malam.
Susulan itu, dua lelaki telah ditahan di sebuah hotel di Cheras pada jam 3.30 pagi untuk membantu siasatan dan rampasan melibatkan kes.
Kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 395/ 397 Kanun Keseksaan.
Video dikongsikan di Harian Metro.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



