Murid Tahun Tiga Maut Terjatuh Dalam Saluran Kumbahan 1.8 Meter Di Sebuah Sekolah Rendah
Difahamkan mangsa berada di dalam longkang itu selama kira-kira 10 minit sebelum berjaya dibawa naik.
Cover image via Harian MetroFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Seorang murid lelaki sebuah sekolah rendah di Lenggeng, Seremban, Negeri Sembilan maut selepas terjatuh ke dalam saluran kumbahan sedalam 1.8 meter di sekolah berkenaan dalam kejadian menyayat hati pada pagi Sabtu
Menurut laporan Sinar Harian, difahamkan, mangsa berusia sembilan tahun yang juga anak kepada Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan terjatuh ketika memijak penutup lubang jenis fiber di kawasan sekolah semasa program kejohanan sukan olahraga di sekolah tersebut sekitar jam 9 pagi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Datuk Mohd Asna Amin yang turut berada di lokasi ketika kejadian bagi perasmian majlis berkenaan berkata, turut bergegas ke lokasi sebaik dimaklumkan berhubung kejadian.
Mohd Asna berkata, ketika itu ramai murid berada di kawasan belakang sekolah kerana berlangsungnya Hari Sukan.

"Seorang murid perempuan memaklumkan ada budak terjatuh ke dalam lubang.
"Saya bersama beberapa yang lain terus ke lokasi, tetapi pada mulanya memang tak nampak apa-apa. Bila turun ke bawah, barulah nampak topi dan kasut sekolah terapung," katanya.
Menurutnya, salah seorang penduduk bertindak menyelam ke dasar bagi mengeluarkan mangsa.
"Mangsa segera dibawa naik ke atas. Difahamkan mangsa berada di dalam longkang itu selama kira-kira 10 minit sebelum berjaya dibawa naik.
"Usaha menyelamat diteruskan hampir 30 minit termasuk bantuan pernafasan (CPR) sementara menunggu ketibaan ambulans. Namun pihak hospital kemudiannya mengesahkan mangsa telah meninggal dunia," katanya.

Difahamkan, bangunan sekolah tersebut baru sahaja dirasmikan pada tahun lalu dan sepatutnya telah memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CF) sebelum diserahkan
Mohd Asna berkata, beliau akan tunggu laporan lengkap terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang tindakan.
Sementara itu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad mengesahkan kejadian.
"Mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban untuk mendapatkan rawatan. Walau bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan.
"Bedah siasat akan dijalankan di Hospital Rembau bagi mengenal pasti punca sebenar kematian. Setakat ini, siasatan awal mendapati insiden berlaku akibat kemalangan dan tiada unsur jenayah dikenal pasti," ujarnya.
Polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Balai Polis berdekatan atau Bilik Gerakan IPD Nilai ditalian 06-7902222.

JPNS diarah siasat kes murid tahun tiga maut jatuh dalam lubang kumbahan
Sementara itu, Kementerian Pendidikan (KPM) mengarahkan Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) menyiasat segera kejadian menimpa murid sembilan tahun yang meninggal dunia selepas terjatuh ke dalam lubang pembentungan.
Menerusi laporan Harian Metro, Ketua Pengarah KPM Dr Mohd Azam Ahmad dalam kenyataan berkata, KPM mengingatkan semua pentadbir sekolah, pejabat pendidikan daerah dan jabatan pendidikan negeri untuk sentiasa memastikan fasiliti sekolah berada dalam keadaan selamat.

Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad.
Image via Harian Metro"KPM menzahirkan takziah kepada keluarga murid yang meninggal dunia setelah terjatuh ke dalam lubang pembentungan di sebuah sekolah di Negeri Sembilan seperti yang dilaporkan media pada hari ini.
"Kejadian ini sangat mendukacitakan. JPNS diarah untuk menyiasat segera kejadian ini…tindakan tegas akan diambil sekiranya terdapat ketidakpatuhan prosedur operasi standard," katanya.
Tambah beliau lagi, KPM memberi perhatian kepada aspek keselamatan dan kesejahteraan seluruh warga institusi pendidikan.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



