Murid Tahun 1 Dipijak & Mulut Ditekup Senior Darjah 3, Dakwa Anak Pernah Dibaling Sup Panas
Makin banyak pula kes buli sejak kebelakangan ini.
Cover image via Kosmo!Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Seorang murid lelaki tahun satu di sebuah sekolah rendah di Seksyen 32, Shah Alam, dilaporkan menjadi mangsa buli tiga murid darjah tiga hingga terpaksa mendapatkan rawatan di hospital
Menurut laporan Kosmo!, kejadian itu berlaku ketika waktu rehat semalam apabila mangsa dipercayai dipijak berkali-kali oleh salah seorang pelaku di bahagian perut, dada dan kaki.
Lebih mengejutkan, mulut mangsa turut ditekup dan dia diugut akan dicekik sekiranya melawan atau menjerit.
Bapa mangsa, Ghadaffi Zainudin, 47, berkata seorang daripada tiga pelaku bertindak sebagai pemerhati, manakala seorang lagi cuba menconteng baju anaknya semasa insiden berlaku.

"Anak saya beritahu hidungnya berdarah selepas kejadian. Malah, pada hari sebelumnya pun dia sudah dibaling sup panas di tangan. Sebelum ini pun, duit sekolahnya sering diambil dan dia kerap diganggu oleh murid yang sama," katanya.
Menyedari kecederaan yang dialami, pasangan suami isteri itu segera membawa anak mereka ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut
Katanya lagi, keadaan anaknya kini stabil dan tiada kecederaan dalaman serius dikesan, namun mangsa masih mengadu sakit apabila ditekan di bahagian badan.
"Alhamdulillah, pemeriksaan awal menunjukkan tiada kecederaan serius. Kami masih menunggu laporan rasmi daripada pihak hospital," katanya lagi.
Laporan polis turut dibuat di Balai Polis Seksyen 7, Shah Alam, berhampiran hospital tempat anaknya dirawat.
Pihak sekolah termasuk guru besar, beberapa pentadbir serta wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) juga dilaporkan hadir ke hospital bagi mendapatkan maklumat lanjut.
"Pihak sekolah memaklumkan sedang mengenal pasti murid yang terlibat. Difahamkan, kejadian buli di sekolah itu bukan kali pertama berlaku dan pernah terjadi kepada murid lain juga oleh individu yang sama," tambahnya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



