Mohon Cuti Sebab Kaki Sakit, Lelaki Dibuang Kerja Selepas Majikan Dapati Dia Berjalan 16,000 Langkah
Syarikat berkenaan menuduh Chen berbohong mengenai keadaan kesihatannya.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Satu perdebatan hangat mengenai hak privasi pekerja tercetus di China selepas seorang lelaki diberhentikan kerja kerana didapati berjalan sejauh 16,000 langkah ketika sedang bercuti sakit
Lelaki berkenaan, yang hanya dikenali dengan nama keluarga Chen, bekerja di sebuah syarikat di wilayah Jiangsu dan dilaporkan mengambil cuti sakit akibat mengalami kesakitan pada bahagian kaki kanan.
Menurut laporan South China Morning Post, Chen telah mengemukakan sijil perubatan yang mengesahkan beliau menghidap masalah heel spur serta dinasihatkan oleh doktor untuk berehat selama seminggu.
Namun, syarikat tempat beliau bekerja menuduh Chen memalsukan tahap kesihatannya dan seterusnya menamatkan perkhidmatannya atas alasan ponteng kerja tanpa sebab munasabah.

Gambar sekadar hiasan.
Image via AARPSebagai bukti, pihak majikan mengemukakan rekod daripada perisian sembang dalaman syarikat yang menunjukkan Chen telah berjalan lebih daripada 16,000 langkah pada hari beliau memohon cuti sakit
Selain itu, mereka turut menyerahkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang didakwa menunjukkan Chen berlari menuju ke premis syarikat pada hari sama.
Namun, Chen mempertikaikan tindakan pemecatan tersebut dengan alasan bukti yang dikemukakan tidak sah serta menegaskan beliau telah menyerahkan rekod perubatan lengkap, termasuk hasil imbasan hospital sebagai pengesahan keadaannya.
Kes itu kemudiannya dibawa ke proses timbang tara buruh dan melalui dua peringkat perbicaraan mahkamah, sebelum mahkamah akhirnya memutuskan bahawa pihak syarikat telah bertindak menamatkan perkhidmatan Chen secara tidak sah.

Mahkamah memerintahkan syarikat berkenaan membayar pampasan berjumlah 118,779 yuan (kira-kira RM69,000) kepada Chen
Kes yang berlaku pada 2019 itu, namun baru-baru ini diperincikan oleh Kementerian Kehakiman China, tular semula dan mencetuskan perdebatan hangat mengenai isu pemantauan pekerja di tempat kerja.
Ramai pengguna media sosial berpendapat tindakan syarikat mengakses data peribadi pekerja merupakan satu pelanggaran hak privasi.
"Syarikat tidak berhak menyemak data peribadi pekerja mereka, termasuk jumlah langkah yang diambil, apatah lagi menggunakan maklumat itu sebagai alasan untuk memecat seseorang," komen seorang pengguna dalam talian.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 