‘Mini Farmasi’ Body Builder Diserbu, Ubat Tak Berdaftar Bernilai Lebih RM3 Juta Dirampas
Antara yang dirampas termasuk anabolic steroid dari luar negara yang dijual secara dalam talian dengan harga antara RM100 hingga RM500 sebotol.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Beberapa premis termasuk sebuah kondominium di Bandar Puteri Bangi diserbu pihak berkuasa selepas disyaki dijadikan tempat simpanan ubat tidak berdaftar yang dipercayai digunakan oleh golongan body builder untuk cepat bina otot
Menurut laporan Kosmo!, serbuan kira-kira jam 9 pagi itu dijalankan oleh Cawangan Penguatkuasaan Farmasi Negeri Selangor bersama KKM dan PDRM, selepas dua bulan risikan terhadap sindiket berkenaan.
Menurut Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Farmasi KKM, Mohd. Zawawi Abdullah, hasil pemeriksaan di lima premis sekitar Bangi dan Klang membawa kepada rampasan lebih 500 jenis ubat tidak berdaftar bernilai lebih RM3 juta.
Antara yang dirampas termasuk anabolic steroid dari luar negara yang dijual secara dalam talian dengan harga antara RM100 hingga RM500 sebotol dan ada juga jenis 'khas' mencecah lebih RM500.
Katanya lagi, kesemua premis itu dipercayai saling berkaitan dan telah aktif sejak tahun 2020. Sepasang suami isteri turut ditahan bagi membantu siasatan.

"Pegawai penguat kuasa farmasi telah menjalankan pemeriksaan ke atas lima buah premis yang dijadikan lokasi penyimpanan ubat tidak berdaftar di Bandar Puteri Bangi dan Klang.
"Hasil pemeriksaan telah berjaya merampas lebih daripada 500 jenis ubat tidak berdaftar dengan nilai rampasan melebihi RM3 juta," katanya.
Mohd. Zawawi turut mengingatkan bahawa penggunaan steroid tanpa kawalan boleh beri kesan buruk kepada tubuh termasuk:
- Penipisan kulit
- Tekanan darah tinggi
- Paras gula meningkat
- Gangguan hormon
- Perubahan emosi & bengkak muka
- Kerosakan hati dan buah pinggang dalam jangka panjang
"Ada juga jenis ubat khas yang dijual pada harga melebihi RM500 di premis ini. Kesemua serbuan (premis) ini dipercayai mempunyai kaitan (sindiket) antara satu sama lain dan aktif sejak tahun 2020," katanya.
Beliau menegaskan bahawa menjual atau memiliki ubat tidak berdaftar menyalahi Peraturan 7(1)(a), Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 di bawah Akta Jualan Dadah 1952.
"Jika sabit kesalahan, individu boleh dikenakan denda sehingga RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM50,000," katanya lagi.
Melalui kempen Tolak Ubat Tidak Sah (TOBaTS), KKM menyeru orang ramai hanya beli produk kesihatan berdaftar yang ada nombor pendaftaran MAL dan pelekat hologram keselamatan.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 