Miliki Penanda Kiblat Tertinggi Di Malaysia, Gunung Kinabalu Catat Malaysia Book of Records
Pengiktirafan rasmi itu disampaikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Cover image via Pejabat Mufti Negeri Sabah (Facebook)Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Gunung Kinabalu sekali lagi mencatat sejarah apabila monumen penanda arah kiblat di Kilometer 8 (KM8) gunung berkenaan secara rasmi diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai penanda arah kiblat tertinggi di Malaysia
Menerusi laporan Sinar Harian, Pengiktirafan berprestij itu disampaikan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, dalam satu Majlis Pengiktirafan MBOR bagi Monumen Penanda Arah Kiblat Tertinggi di Malaysia yang berlangsung di sini pada Isnin.
Pengiktirafan ini bukan sahaja menambah satu lagi mercu tanda penting di puncak tertinggi negara, malah melambangkan perpaduan antara keteguhan iman dan keindahan alam semula jadi Gunung Kinabalu, yang menjadi kebanggaan rakyat Sabah dan Malaysia.
Hajiji dalam ucapannya menyifatkan pengiktirafan itu bukan sekadar satu pencapaian fizikal, sebaliknya melambangkan kekuatan semangat, keilmuan dan keimanan umat Islam di Sabah.
"Monumen ini berdiri megah di puncak tertinggi Malaysia, menjadi lambang keutuhan akidah dan syiar Islam yang menjulang tinggi. Ia bukan hanya rekod dalam buku, tetapi pengiktirafan terhadap usaha dakwah, ilmu dan inovasi," katanya.

Hajiji (tengah) bersama Mufti Kerajaan Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar (kiri) menerima sijil pengiktirafan daripada wakil MBOR di Kota Kinabalu pada Isnin.
Image via Sinar HarianKewujudan monumen memperkukuh kedudukan Sabah sebagai destinasi pelancongan halal dan mesra Islam
Pemasangan monumen penanda arah kiblat di Gunung Kinabalu amat signifikan kerana membantu pendaki Muslim menentukan arah kiblat dengan tepat ketika menunaikan solat di altitud tinggi, sekali gus menyelesaikan cabaran beribadah di kawasan ekstrem.
"Pendakian Gunung Kinabalu kini semakin popular dalam kalangan rakyat tempatan dan antarabangsa. Bagi pendaki Muslim, penentuan arah kiblat sering menjadi cabaran. Usaha ini amat tepat pada masanya, memberikan kemudahan dan keyakinan kepada mereka untuk menunaikan solat dengan sempurna," ujarnya.
Menurut Hajiji, monumen berkenaan dipasang pada ketinggian 3,930.4 meter dari aras laut di KM8 Gunung Kinabalu, menjadikannya penanda arah kiblat tertinggi di Malaysia.
Projek itu dilaksanakan melalui kerjasama pelbagai agensi termasuk Pejabat Mufti Sabah, JTU, JUPEM, Taman-Taman Sabah, JAKIM, PDRM, JBPM, RTM dan Pejabat Daerah Ranau.

Penanda arah kiblat tertinggi di Malaysia.
Image via Pejabat Mufti Negeri Sabah (Facebook)Katanya, sinergi itu membuktikan bahawa apabila ilmu, teknologi dan iman bersatu, ia mampu melahirkan kejayaan besar.
"Gunung Kinabalu kini bukan sekadar destinasi pendakian fizikal, tetapi juga destinasi spiritual dan ilmiah yang mengangkat keagungan ciptaan ALLAH SWT," katanya.
Hajiji turut menegaskan bahawa kewujudan monumen itu memperkukuh kedudukan Sabah sebagai destinasi pelancongan halal dan mesra Islam, selain memperkasakan penghayatan ilmu falak dalam masyarakat.
"Pelancong Islam kini lebih yakin menunaikan solat di puncak tertinggi Malaysia. Ini menjadikan Sabah peneraju pelancongan halal, sekali gus membuktikan sains dan agama boleh bergerak seiring dalam suasana aman dan harmoni," katanya.
Beliau menyifatkan kejayaan ini sebagai inspirasi kepada generasi muda serta simbol kemajuan negeri.
"Monumen ini bukan sahaja menandakan arah kiblat, tetapi juga arah kemajuan negeri Sabah. Ia simbol penyepaduan antara pembangunan fizikal dan rohani," tegasnya.
Kerajaan negeri, jelas Hajiji, akan terus menyokong inisiatif berteraskan agama, ilmu dan inovasi selaras aspirasi Sabah Maju Jaya.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



