Michelle Yeoh Lakar Sejarah, Bakal Terima Bintang Di Hollywood Walk Of Fame
Satu pencapaian yang membanggakan!
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Sebutir lagi permata dunia seni kelahiran Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh, bakal mengukuhkan legasinya di persada antarabangsa apabila dijadualkan menerima bintang ke-2,836 di Hollywood Walk of Fame
Majlis penganugerahan berprestij itu akan berlangsung pada Rabu, 18 Februari ini, di 6927 Hollywood Boulevard.
Menurut laporan Hollywood Walk of Fame, acara yang dikelolakan oleh Dewan Perniagaan Hollywood ini akan menyaksikan Yeoh menerima pengiktirafan dalam kategori Filem.
Majlis tersebut akan dikendalikan oleh pengarah terkenal Jon M. Chu dan Ang Lee, serta turut dihadiri oleh hos bersama, Jenelle Riley.

Satu penghormatan besar buat industri hiburan global
Penerbit Walk of Fame, Ana Martinez, menyifatkan penyertaan Yeoh sebagai satu penghormatan besar buat industri hiburan global.
"Bakat luar biasa, keanggunan, dan kerjaya Michelle yang merintis jalan telah meninggalkan kesan mendalam dalam industri ini. Bintang ini adalah penghormatan buat seorang pejuang seni yang karyanya terus memberi inspirasi kepada penonton di seluruh dunia," katanya.
Sejak tahun 1960, Hollywood Walk of Fame telah menjadi mercu tanda budaya yang dikunjungi jutaan pelancong.
Kehadiran Yeoh di sini bukan sekadar menambah senarai nama besar, tetapi melambangkan kejayaan seorang anak seni yang berjaya memecahkan tembok tradisi.
Nama Michelle Yeoh mula meledak di peringkat antarabangsa melalui filem aksi Hong Kong pada tahun 1990-an sebelum membintangi pelbagai filem blockbuster global. Pada tahun 2023, beliau melakar sejarah sebagai pelakon Asia pertama memenangi Anugerah Akademi (Oscar) bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem Everything Everywhere All at Once.
Kemenangan tersebut turut disusuli dengan anugerah di Golden Globe dan Screen Actors Guild Awards, manakala filem tersebut menjadi naskhah dengan kutipan tertinggi bagi syarikat produksi A24.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 