MERCY Malaysia Kerah Misi Bantuan Khas Ke Gaza Bagi Sediakan Rawatan Kesihatan
Krisis berlarutan meningkatkan keperluan mendesak terhadap rawatan dan bantuan perubatan.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Usaha bantuan kemanusiaan Malaysia ke Gaza diteruskan apabila MERCY Malaysia menghantar Pasukan Rawatan Khas Keenam ke wilayah bergolak itu bagi menyediakan rawatan kesihatan kepada penduduk yang terjejas akibat konflik, lapor Berita Harian
Pasukan berkenaan kini bertugas sebagai petugas barisan hadapan di bawah penyelarasan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), menurut kenyataan organisasi tersebut di Facebook.
MERCY Malaysia menjelaskan bahawa krisis yang berlarutan telah menyebabkan kemudahan rawatan di Gaza mengalami kekurangan bekalan serta kakitangan, sekali gus meningkatkan keperluan mendesak terhadap rawatan dan bantuan perubatan.

Komitmen MERCY Malaysia kekal kukuh dengan menyokong usaha pemulihan sistem kesihatan di Gaza, mempertingkat ketahanan masyarakat setempat serta mengembalikan keyakinan dan semangat penduduk yang terjejas.
Bagi masyarakat Malaysia yang ingin turut serta membantu, sumbangan boleh disalurkan melalui akaun CIMB Islamic Bank Berhad: 8606 1291 17 (Ref: Gaza) dengan kod SWIFT CTBBMYKL.
Di lapangan, keadaan masih membimbangkan. Berdasarkan laporan Agensi Berita Palestin (WAFA), tentera Israel dilaporkan terus melancarkan serangan meskipun terdapat perjanjian gencatan senjata dengan beberapa kawasan termasuk bandar Gaza dan Khan Younis menjadi sasaran.
Sejak pencerobohan bermula pada Oktober 2023, seramai 68,858 penduduk Gaza, majoriti wanita dan kanak-kanak telah terbunuh, manakala jumlah yang cedera mencecah 170,664 orang
Selepas gencatan senjata terbaharu berkuat kuasa pada 11 Oktober lalu, angka korban terus bertambah dengan 226 nyawa terkorban dan 594 lagi cedera.
Selain itu, 499 mayat ditemui dari bawah runtuhan bangunan, manakala 30 lagi mayat diserahkan oleh pihak berkuasa Israel, menjadikan jumlah keseluruhan angka korban yang dikenal pasti setakat ini sebanyak 529.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 