Menu RMT Kini Bertambah Kepada 33 Pilihan, Fokus Kepelbagaian & Nutrisi Murid
Penambahan tersebut dibuat bagi memastikan murid menerima pilihan makanan yang lebih pelbagai, selain memenuhi keperluan nutrisi yang ditetapkan.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Kerajaan mengumumkan jumlah menu dalam Program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) akan ditingkatkan daripada 20 kepada 33 menu bermula penghujung tahun ini

Menurut laporan Kosmo!, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, penambahan tersebut dibuat bagi memastikan murid menerima pilihan makanan yang lebih pelbagai, selain memenuhi keperluan nutrisi yang ditetapkan.
Menurut beliau, inisiatif itu dilaksanakan hasil perbincangan bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), dengan mengambil kira aspek keperluan kalori serta diet seimbang untuk pertumbuhan dan perkembangan murid.
"Langkah ini juga bertujuan menarik minat dan cita rasa murid melalui tawaran menu yang lebih luas dan pelbagai," katanya.
Kadar RMT dinaikkan sejak 2022

Dalam pada itu, Fadhlina memaklumkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) turut menyemak semula kadar peruntukan RMT bermula November 2022.
Bagi sekolah di Semenanjung Malaysia, kadar dinaikkan daripada RM2.50 kepada RM3.50.
Manakala bagi sekolah di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan, kadar ditingkatkan daripada RM3 kepada RM4.
Menurut beliau, pelarasan tersebut dibuat bagi mengimbangi kenaikan harga bahan mentah selain membantu meringankan beban kewangan pembekal dalam menyediakan makanan yang berkualiti dan mencukupi mengikut menu yang ditetapkan.
Pemantauan dilaksana secara berterusan
Bagi memastikan pelaksanaan RMT mematuhi garis panduan, guru bertugas akan menjalankan pemantauan secara dalam talian setiap hari, yang kemudiannya disemak oleh pentadbir sekolah setiap minggu.
Melalui mekanisme tersebut, pembekal sentiasa diingatkan supaya memastikan kualiti dan kuantiti makanan yang dibekalkan menepati standard yang ditetapkan.
Selain itu, pemantauan turut dilaksanakan secara berkala oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan KPM.
KKM juga bekerjasama dalam aspek pemantauan kebersihan serta kaedah penyediaan makanan bagi memastikan ia memenuhi standard kesihatan dan menu yang telah ditetapkan.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 