Menara Merdeka 118 Cipta Sejarah, Raih Anugerah Bangunan Tinggi Terbaik Dunia 2025

Pengiktirafan itu mencerminkan kehebatan seni bina, kepakaran kejuruteraan serta komitmen Merdeka 118 dalam mengutamakan kelestarian.

Enlarge text
Logo

Follow kami di WhatsApp ChannelsTelegramInstagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.

Menara Merdeka 118 kini secara rasmi diiktiraf sebagai Bangunan Tinggi Terbaik (300 meter ke atas) oleh Council on Vertical Urbanism (CVU), sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai antara peneraju seni bina moden di peringkat antarabangsa

Menurut laporan Bernama, pengiktirafan berprestij itu diumumkan pada Majlis Anugerah CVU 2025 di Toronto, Kanada, yang menghimpunkan projek global terbaik dalam inovasi reka bentuk bangunan tinggi dan perancangan bandar kontemporari.

Council on Vertical Urbanism (CVU), yang sebelum ini dikenali sebagai Council on Tall Buildings and Urban Habitat (CTBUH), merupakan autoriti antarabangsa terkemuka dalam bidang pembangunan pencakar langit dan ekosistem bandar moden.

Menurut PNB Merdeka Ventures Sdn Bhd (PNBMV), pengiktirafan tersebut menjadi bukti ketulenan visi Merdeka 118, merangkumi keunggulan seni bina, ketelitian kejuruteraan dan komitmen kukuh terhadap prinsip kelestarian.

"Dengan ketinggian 678.9 meter di tengah-tengah Kuala Lumpur menjadikan Merdeka 118 sebagai bangunan tertinggi di Asia Tenggara dan menara kedua tertinggi di dunia, melambangkan kemajuan serta aspirasi negara," menurut kenyataan itu.

SAYS.com
Image via Bernama

Reka bentuk Merdeka 118 bukan untuk mencapai ketinggian luar biasa

Ketua Pegawai Eksekutif PNBMV, Datuk Tengku Ab Aziz Tengku Mahmud, menyifatkan pengiktirafan itu sebagai satu penghormatan besar buat Malaysia serta seluruh pasukan yang terlibat dalam merealisasikan projek mercu tanda bersejarah tersebut.

"Sejak dari awal lagi, visi kami bukan hanya untuk membina sebuah menara ikonik, tetapi juga membentuk sebuah kawasan menghubungkan masyarakat, meraikan warisan serta menyumbang kepada pembangunan bandar yang lebih mampan dan inklusif.

"Kami berasa bangga apabila visi ini diiktiraf di peringkat antarabangsa. Merdeka 118 mencerminkan semangat kemerdekaan, melambangkan ketabahan dan keyakinan Malaysia terhadap masa depan," katanya.

Arkitek Utama Fender Katsalidis, Karl Fender, turut berkongsi aspirasi di sebalik rekaan menara tersebut, menegaskan bahawa pencapaian ketinggian bukanlah matlamat utama, sebaliknya nilai simbolik dan legasi yang ingin dibentuk.

"Reka bentuk Merdeka 118 bukan untuk mencapai ketinggian luar biasa, sebaliknya merupakan peluang mencipta monumen abadi yang menghormati warisan Malaysia sambil meraikan masa depannya.

"Anugerah ini mengukuhkan keyakinan kami bahawa seni bina unggul terhasil daripada nilai serta tujuan mendalam, sekali gus menjadi sumber inspirasi kepada generasi akan datang," katanya.

SAYS.com
Image via Property Genie

Sementara itu, Pengerusi CVU, Shonn Mills, menegaskan keistimewaan Merdeka 118 terletak pada pendekatan holistiknya yang menggabungkan inovasi teknikal, naratif budaya dan kelestarian.

"Ia menjadi contoh bagaimana bangunan tinggi mampu berperanan sebagai pemangkin kepada pembaharuan bandar, sambil mencerminkan identiti serta aspirasi sesebuah negara," katanya.

PNBMV menjelaskan, Merdeka 118 kini berdiri sebaris dengan projek global bertaraf dunia menerusi kekuatan reka bentuk, inovasi dan komitmen terhadap pembangunan bandar lestari.

Dibangunkan PNB Merdeka Ventures, anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB), menara itu menjadi nadi utama Presint Merdeka 118.

"Komponen utama seperti Stadium Merdeka dan 118 Mall dijangka menjadi destinasi awam inklusif, disokong pelbagai inisiatif berteraskan komuniti termasuk Program Penambahbaikan Ruang Awam Merdeka 118 dan Geran Komuniti Merdeka 118," menurut kenyataan syarikat itu.

Kedua-dua inisiatif tersebut dilaksanakan di bawah projek Warisan KL, yang bertujuan mengimarahkan semula kawasan kejiranan sekitar dan memperkukuh hubungan komuniti setempat.

PNBMV menambah, kejayaan ini bukan sahaja mengangkat imej Merdeka 118 sebagai ikon seni bina global, tetapi turut mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju dalam pembangunan bandar yang mampan, inklusif dan berlandaskan identiti nasional.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!

Image via SAYS Seismik
Read more trending stories on SAYS

You may be interested in: