Melaka Umum Cuti Enam Hari Berturut-Turut Bulan Depan Bermula 17 Februari
Seronoknya cuti panjang!
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Kerajaan Negeri Melaka mengumumkan cuti khas pada 1 Ramadan bagi semua penjawat awam negeri itu, sekali gus menjadikan Melaka menikmati enam hari cuti berturut-turut bermula 17 Februari depan
Menurut laporan Kosmo!, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, keputusan itu dibuat sebagai tanda penghargaan terhadap komitmen dan pengorbanan penjawat awam yang bertungkus-lumus menjayakan pelbagai program kerajaan negeri sepanjang tahun 2025.
Menurut beliau, penjawat awam negeri telah menunjukkan dedikasi tinggi dengan sanggup bekerja tanpa mengira waktu, cuaca serta terpaksa mengorbankan masa bersama keluarga demi memastikan segala perancangan dan pelaksanaan program berjalan lancar.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh
Image via Kosmo!"Ada pula yang sampai suami mengadu di komen, katanya 'Tok kesian dekat saya, hujung minggu pun isteri kena kerja'. Saya faham, dengar dan amat memaham, inilah gambaran sebenar komitmen penjawat awam negeri Melaka," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 bertemakan Tahun Pelaksanaan: Petunjuk Kemampanan, Menyelesaikan Amanah, Memperkukuh Prestasi yang berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh.
Tambah beliau, cuti khas 1 Ramadan itu diharap dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh penjawat awam untuk membuat persiapan awal menyambut bulan Ramadan bersama keluarga serta mengeratkan hubungan kekeluargaan yang mungkin terabai sebelum ini
"Mudah-mudahan cuti ini dapat dimanfaatkan sebaiknya untuk membuat persiapan menyambut Ramadan bersama keluarga. Semoga dengan cuti Ramadan ini dapat mendekatkan yang jauh, dapat memesrakan yang lama tak dapat bersama-sama," katanya lagi.
Dengan pengumuman itu, Melaka akan menikmati enam hari cuti berturut-turut merangkumi cuti umum sambutan Tahun Baharu Cina pada 17 dan 18 Februari, cuti khas 1 Ramadan pada 19 Februari, Hari Pengisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 20 Februari serta cuti hujung minggu pada 21 dan 22 Februari.
Pengumuman tersebut sekali gus dijangka memberi kelegaan kepada penjawat awam negeri serta membuka ruang kepada perancangan awal bagi persiapan Ramadan dan aktiviti bersama keluarga.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 