MB Perlis Potong Gaji Sendiri & Exco Demi Rakyat, Umum Pendekatan Pentadbiran ‘3B’
Pemotongan gaji itu turut melibatkan barisan Exco yang bakal dilantik selepas rombakan pentadbiran.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Menteri Besar Perlis yang baharu, Abu Bakar Hamzah mengumumkan pemotongan gaji peribadinya sebanyak RM3,000 sebulan sebagai langkah awal menstabilkan ekonomi negeri serta meringankan beban rakyat
Menurut laporan Harian Metro, pemotongan gaji itu turut melibatkan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang bakal dilantik selepas rombakan pentadbiran, dengan setiap Exco akan dipotong gaji sebanyak RM1,500 sebulan.
Menurut Abu Bakar, keputusan tersebut dibuat sebagai simbol pengorbanan kepimpinan dan usaha mengembalikan manfaat ekonomi kepada rakyat serta negeri Perlis secara keseluruhan.

"Saya melihat begini, kita kena beri khidmat kita kepada negeri, kepada rakyat kerana ada rakyat di negeri ini yang sukar untuk sekurang-kurangnya mencari wang RM500 sebulan, nampak berat buat mereka jadi saya dengan rela hati membuat pemotongan ini supaya rakyat boleh melihat bahawa kita bersama mereka.
"Ini adalah antara pengorbanan yang cuba kita buat untuk memajukan negeri dan keadaan ini akan beralih apabila keadaan ekonomi kita berjalan elok, sempurna dan sebagainya, kita tengoklah nanti," katanya.
Abu Bakar turut menegaskan bahawa pemotongan gaji peribadinya itu akan diteruskan sepanjang tempoh perkhidmatannya sebagai Menteri Besar
"Pemotongan ini juga dilakukan untuk mengurangkan bebanan belanja negeri dan ini dilihat mampu membantu negeri. Bagi exco yang dilantik selepas ini, saya akan buat keputusan pemotongan ini untuk mereka dan jumlah RM1,500 ini rasanya tidak ada masalah buat mereka," katanya lagi.
Dalam sidang media yang sama, Abu Bakar turut memperincikan pendekatan pentadbiran baharunya yang berteraskan konsep 3B iaitu 'Bangkit, Bingkas dan Buat'.

"Kita mesti bangkit daripada zon selesa dan membina semula semangat kerja progresif yang akan menjadi kunci kejayaan negeri ini dan perlu berani berubah untuk menyesuaikan diri dengan cabaran semasa.
"Kedua, bingkas di mana kuasa yang diamanahkan mesti dilaksanakan dengan cekap, pantas dan berintegriti serta keputusan perlu dibuat secara berfakta dan berteraskan kepentingan rakyat.
"Ketiga, buat iaitu meskipun dengan modal seadanya, kita mesti terus bertindak proaktif dan kekangan bukan alasan tidak melaksanakan tugas, sebaliknya dorongan bekerja dengan lebih kreatif dan berkesan, biarlah kita bekerja dengan acuan kita sendiri yang bermotifkan kepada Perlis Maju," ujarnya.
Menurutnya, pendekatan berkenaan juga bertujuan mengubah landskap budaya kerja jabatan negeri agar lebih proaktif, berdaya saing serta berorientasikan hasil

Ia memandangkan penjawat awam merupakan tulang belakang pentadbiran negeri dan rakan strategik dalam menjayakan agenda pembangunan.
Terdahulu, Abu Bakar memulakan tugas rasmi pertamanya sebagai Menteri Besar Perlis dengan merekodkan cap jari pada mesin rekod masa di Pejabat Menteri Besar Perlis.
Sesi tersebut turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Rahimi Ismail, Penasihat Undang-Undang Negeri, Yang Zaimey Yang Ghazali serta Pegawai Kewangan Negeri, Saharuddin Sarwan.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 