Malaysia Diramal Antara Lima Negara Kutipan Tertinggi Filem The Voice Of Hind Rajab
The Voice of Hind Rajab merupakan kisah sebenar penderitaan rakyat Palestin melalui penceritaan visual yang berasaskan dokumentasi dan nilai sejarah.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Malaysia diramalkan tersenarai dalam kelompok lima negara teratas dunia dari segi kutipan tayangan filem The Voice of Hind Rajab

Menurut laporan Berita Harian, ia merupakan satu perkembangan yang dilihat mampu membuka ruang lebih luas kepada pengiktirafan antarabangsa, termasuk peluang pencalonan di Anugerah Akademi (Oscar).
Perkara itu disuarakan penulis dan aktivis kemanusiaan, Zainal Rashid Ahmad (ZRA), yang menegaskan bahawa naskhah tersebut bukan sekadar sebuah karya perfileman, sebaliknya menjadi medium penting untuk menyampaikan realiti penderitaan rakyat Palestin, khususnya kanak-kanak di Gaza.
Menurutnya, filem itu berfungsi sebagai ruang katarsis emosi kepada penonton yang terkesan dengan konflik berterusan di wilayah itu yang kini menjangkau hampir 800 hari.
"The Voice of Hind Rajab dilihat sebagai antara naskhah perfileman yang berjaya mengetengahkan kisah sebenar penderitaan rakyat Palestin melalui penceritaan visual yang berasaskan dokumentasi dan nilai sejarah.
"Keberuntungan kita hari ini ialah kerana kisah Hind Rajab ini sempat dirakam. Banyak kisah lain sejak 52 tahun lalu tidak pernah difilemkan," katanya.
Zainal Rashid yang juga dikenali sebagai ZRA, merupakan antara suara utama kempen filem The Voice of Hind Rajab, selain personaliti media Uyaina Arshad dan Ahmad Fedtri Yahya

Mengulas lanjut, beliau berkata kekuatan utama filem tersebut terletak pada realiti tragedi Allahyarham Hind Rajab yang berjaya dirakam dan didokumentasikan secara visual.
"Ini menjadikan kisah menimpa Hind sebagai antara tragedi sebenar pertama membabitkan kanak-kanak Palestin yang dipersembahkan secara terperinci kepada penonton umum," katanya.
Sesi Coffee Talk berkenaan turut berfungsi sebagai kupasan pasca tayangan filem, yang menekankan bahawa tragedi Hind Rajab bukanlah kejadian terpencil, sebaliknya kesinambungan kepada lebih 50 tahun siri pembunuhan terancang terhadap kanak-kanak Palestin.
Dalam sesi tersebut, penonton dibawa mengimbau kisah kanak-kanak lain yang terkorban dalam konflik Palestin-Israel, antaranya Lamis Najim, Faris Odeh, Muhammad Al-Durrah dan Reem Nabhan, bagi memberikan perspektif lebih luas tentang penderitaan berpanjangan yang dialami generasi muda di Gaza.
Selain Gaza, perbincangan turut menyentuh siri kekejaman di kawasan konflik lain, menjadikan sesi itu bukan sekadar perbincangan filem, tetapi satu platform pendidikan dan kesedaran kemanusiaan.
Dalam pada itu, Zainal menyeru rakyat Malaysia agar terus memainkan peranan sebagai suara kepada Palestin dengan menyokong tayangan filem tersebut di pawagam, sekali gus mengukuhkan inisiatif #GerakanSuaraMalaysia.
"Jika negara lain boleh berada di kedudukan lima teratas, kenapa tidak Malaysia?" katanya lagi..
Sesi Coffee Talk bersama ZRA dan tayangan The Voice of Hind Rajab itu dihadiri lebih 200 peserta serta menerima sokongan beberapa selebriti tempatan dan aktivis kemanusiaan, termasuk Heliza dan Hazwani Helmi, Zizi Kirana, Dr Hafiz Sulaiman, Mior Malek Raiyani, Asrulnizam Kadir dan Amirulhakim Lokman.
Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima (MPTN) dan Primeworks Studios (PWS), Nini Yusof.
Untuk rekod, filem The Voice of Hind Rajab mula ditayangkan sejak 8 Januari lalu dan kini berada di 32 lokasi GSC di seluruh negara

Filem itu mengisahkan tragedi sebenar yang menimpa Hind Rajab, seorang kanak-kanak Palestin berusia enam tahun yang terkorban selepas terperangkap di dalam sebuah kenderaan di Gaza susulan serangan tentera Israel pada 29 Januari 2024.
Tragedi itu turut merakam usaha sukarelawan yang menerima panggilan daripada arwah Hind ketika cuba menyelaras penghantaran bantuan kecemasan, namun misi tersebut gagal menyelamatkan nyawanya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 