Mahkamah Tolak Saman Bekas Pelajar Sembunyi iPhone Dalam Pakaian Dalam Ketika Trial-SPM
Difahamkan, saman dibuat atas dakwaan dimalukan, reputasi terjejas dan tekanan emosi.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu telah menolak tuntutan saman bekas pelajar yang telah ditahan enam tahun lalu
Bekas pelajar itu telah ditahan menyembunyikan telefon pintar iPhone di dalam pakaian dalamnya ketika peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Terengganu.
Menurut laporan dari Berita Harian, Hakim, Wan Nor Aklima Wan Salleh mendapati tindakan guru menjalankan pemeriksaan mengejut semasa peperiksaan itu adalah munasabah dan wajar.
Kes ini telah berlaku pada 25 Oktober 2020 lepas ketika peperiksaan percubaan Sains Rumah Tangga di SMK Sura, Dungun, Terengganu.
Kes berpunca dari peperiksaan percubaan subjek Sains Rumah Tangga
Hasil pemeriksaan, iPhone 6 yang berwarna emas itu ditemui disembunyikan di dalam pakaian dalam pelajar berkenaan.
Telefon itu kemudiannya telah dirampas dan dilabel sebagai bahan bukti dakwaan meniru.
Pemeriksaan lanjut mendapati telefon itu mempunyai nota dan bahan rujukan berkaitan peperiksaan percubaan termasuk dokumen yang mengandungi soalan yang berkaitan kertas peperiksaan yang diduduki.

Gambar sekadar hiasan
Image via Berita Harian / NSTPSusulan itu, pihak sekolah memberikan markah satu peratus untuk beberapa subjek dalam peperiksaan percubaan tersebut mengikut peraturan peperiksaan sekolah.
Wanita itu telah menyatakan kekesalan, dan kini berusia 23 tahun, dia melalui bapanya telah memfailkan saman terhadap dua guru, pengetua sekolah, Ketua Pengarah Pendidikan dan kerajaan atas dakwaan kecuaian, pemeriksaan tidak wajar serta fitnah.
Didakwa dimalukan di hadapan pelajar lain
Plaintif mendakwa dia telah dimalukan oleh pemeriksa badan kerana ia berlaku di hadapan pelajar lain dan mendakwa tuduhan meniru itu telah menjejaskan reputasinya dan menyebabkan tekanan emosi.
"Plaintif mendakwa dia menyimpan telefon itu di dalam pakaian dalam kerana takut ia hilang jika ditinggalkan di luar dewan.
"Mengapa perlu letak di dalam pakaian dalam?. Mengapa bukan di dalam poket baju?. Pada hemat mahkamah, ini adalah sesuatu yang dirancang dan bukan tindakan spontan.
"Plaintif sudah melakukan pertimbangan yang lemah dan mengambil risiko besar dengan membawa telefon itu masuk ke dewan peperiksaan," katanya.
Hakim juga mempersoalkan bagaimana plaintif boleh mempunyai kertas peperiksaan percubaan lebih awal daripada beberapa subjek untuk peperiksaan percubaan tahun itu.
"Namun, apa yang lebih mengejutkan adalah plaintif memiliki kertas peperiksaan percubaan SPM 2020 bersama skema jawapan bagi beberapa subjek teras. Bagi mahkamah, ini adalah isu sebenar yang nampaknya terlepas pandang oleh semua pihak," tegas beliau.
Menjawab dakwaan fitnah, hakim mengatakan ia berlaku di dalam dewan tertutup dengan hanya guru wanita yang hadir serta tiada sebarang sentuhan fizikal yang tidak wajar berlaku.
Makamah memerintahkan plaintif membayar kos sebanyak RM10,000 kepada defendan dan plaintif telah memfailkan rayuan terhadap keputusan itu ke Mahkamah Tinggi.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 