Mahkamah Rayuan Benarkan Pembebasan Sementara Buat Da’i Syed

Prosiding hari ini turut dihadiri isteri Da'i Syed, Hana Ismail.

Enlarge text
Logo

Follow kami di WhatsApp ChannelsTelegramInstagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.

Pendakwah selebriti Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful, atau lebih dikenali sebagai Da'i Syed, telah dibebaskan secara sementara hari ini

Menurut laporan Berita Harian, keputusan itu dibuat selepas Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan penggantungan pelaksanaan hukuman penjara sehingga proses rayuannya selesai diputuskan.

Ketetapan tersebut diputuskan oleh panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan oleh Datuk Azmi Ariffin, bersama-sama Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz dan Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid.

"Setelah mendengar penghujahan daripada kedua-dua pihak dan membaca alasan serta penghujahan bertulis, kami mendapati terdapat keadaan istimewa yang mewajarkan pemohon ini dilepaskan di atas jaminan sehinggalah rayuan pemohon ini di Mahkamah Rayuan ini diputuskan," kata Azmi.

Dalam prosiding yang berlangsung hari ini, Da'i Syed selaku pemohon diwakili oleh peguam M Athimulan, sementara pihak pendakwaan yang bertindak sebagai responden diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya, Atiqah Abdul Karim@Husaini.

Hadir sama ke mahkamah bagi mengikuti prosiding tersebut adalah isteri beliau, Hana Ismail, 40.

SAYS.com
Image via Buletin TV3

Permohonan dibenarkan kerana Da'i Syed tidak pernah gagal menghadirkan diri

Menurut Azmi, keputusan tersebut dicapai memandangkan Da'i Syed selaku pemohon sentiasa memberikan kerjasama dengan hadir pada setiap sesi perbicaraan, sama ada di peringkat Mahkamah Sesyen mahupun Mahkamah Tinggi.

"Yang keduanya kami juga mendapati tiada keterangan yang merujuk melalui afidavit bahawa pemohon pernah melarikan diri atau menghilangkan diri dari menghadiri prosiding sama ada di peringkat Mahkamah Sesyen atau di Mahkamah Tinggi.

"Mengambil kira juga di antara pertimbangan diambil seperti diucapkan oleh peguam pemohon iaitu ini adalah kesalahan pemohon yang pertama dan harus juga diberi pertimbangan," katanya.

SAYS.com
Image via @daisyed_ (Instagram)

Azmi turut menetapkan beberapa syarat bagi pembebasan tersebut, antaranya Da'i Syed dikenakan jaminan tunai sebanyak RM40,000 dengan dua orang penjamin yang tidak terhad kepada ahli keluarga sahaja.

Selain itu, pasport antarabangsa beliau akan terus disimpan oleh pihak mahkamah sebagai syarat kedua.

Syarat ketiga pula memerlukan beliau melaporkan diri di Balai Polis Seksyen 6, Shah Alam pada setiap 1 hingga 5 hari bulan, bermula Mac depan sehingga keputusan rayuan di Mahkamah Rayuan dimuktamadkan.

"Jika ada pelanggaran mana-mana syarat yang saya bacakan tadi maka jaminan tersebut yang diberikan pada hari ini akan dibatalkan oleh Mahkamah Rayuan ini," katanya.

Hana dilihat memeluk suaminya yang berbaju oren sebaik sahaja prosiding berakhir.

Terdahulu, pada 23 Januari, Da'i Syed telah diperintahkan untuk memulakan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan di Penjara Kajang selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam mengekalkan sabitan kes rogol membabitkan seorang wanita pada 2019.

Keputusan tersebut sekali gus menolak rayuannya untuk mengetepikan hukuman yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen pada Ogos 2024.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!

Image via SAYS Seismik
Read more trending stories on SAYS

You may be interested in: