Mahkamah Buruh Bergerak Dijangka Beroperasi Ogos Ini – Kementerian Sumber Manusia
Langkah itu juga bertujuan menangani kekangan sumber manusia, khususnya kekurangan pegawai penguat kuasa tenaga kerja.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Kementerian Sumber Manusia bakal melancarkan inisiatif Mahkamah Buruh Bergerak selewat-lewatnya Ogos ini bagi memperluas akses keadilan kepada pekerja
Menerusi laporan Berita Harian, menterinya, Datuk Seri R. Ramanan berkata, sebanyak RM5 juta diperuntukkan kepada Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) untuk fasa permulaan ini.
Menurut beliau, tiga unit kenderaan khas yang telah diubah suai akan digerakkan di seluruh Semenanjung untuk membantu tenaga kerja di kawasan luar bandar atau mereka yang mempunyai kekangan akses kepada perkhidmatan sedia ada.
"Ini adalah satu inisiatif yang akan menyenangkan proses bagi semua orang. Tempoh sehingga Ogos ini bagi memastikan JTKSM mempunyai pelan pelaksanaan Mahkamah Buruh Bergerak ini supaya maklumat mengenainya dapat disebarkan.
"Ia bagi membolehkan tenaga kerja tahu di mana ia akan berpusat dan bagaimana pergerakan perkhidmatan itu. Jadi memang ambil masa sedikit. Semua ini telah dirancang tetapi perlulah ambil masa untuk pelaksanaannya.
"Itu yang kita kata akan mulakan pada Ogos, tetapi mungkin akan lebih cepat," katanya.

Pemasangan SPD diteruskan bagi memodenkan proses Mahkamah Buruh
Dalam pada itu, Ramanan berkata proses pemerkasaan Mahkamah Buruh kini diteruskan menerusi pemasangan Sistem Perekodan Digital (SPD) yang membabitkan peruntukan sebanyak RM1.8 juta.
Sistem yang telah dilaksanakan di 12 lokasi sejak 2024 ini akan diperluas ke enam lagi fasiliti pada tahun ini iaitu di Ipoh, Alor Setar, Muar, Rawang, Kuantan dan Kuala Terengganu.
Langkah ini disifatkan sebagai pengubah keadaan yang mampu mempercepatkan prosiding, meningkatkan ketelusan, serta memastikan pengurusan rekod kes buruh lebih sistematik selaras dengan agenda pendigitalan negara.
"Sekarang kita buat penambahan kerana kita lihat memang berjaya merekodkan secara digital dan menyenangkan proses. Jadi, bagi 2026, kita tambah lagi enam," katanya.

Bagi memodenkan kaedah perekodan data sedia ada yang telah berusia lebih dua dekad, pembangunan Sistem Pengurusan Perburuhan Bersepadu (SPPB) akan dimulakan tahun ini dengan peruntukan RM9.25 juta bagi tempoh 36 bulan.
Sistem baharu ini bakal mengintegrasikan teknologi terkini merangkumi kecerdasan buatan (AI), analisis data raya, pengkomputeran awan, serta AI chatbot.
Dalam pada itu, KESUMA bakal menggabungkan tiga jabatan utama iaitu JTKSM, Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja, dan Jabatan Perhubungan Perusahaan bagi meningkatkan kecekapan penguatkuasaan.
"Penggabungan itu dibuat kerana fungsi ketiga-tiga jabatan berkenaan saling berkait dan berada dalam rantaian isu sama, yang memerlukan satu penyelarasan bawah satu struktur pentadbiran lebih bersepadu.
"Langkah itu juga bertujuan menangani kekangan sumber manusia, khususnya kekurangan pegawai penguat kuasa tenaga kerja," katanya.
Langkah penggabungan ini bertujuan mengatasi kekurangan kakitangan penguat kuasa yang kini hanya berjumlah 300 orang di Semenanjung serta 100 orang di Sabah dan Sarawak.
Menurut Ramanan, integrasi ini membolehkan perkongsian kepakaran dan tenaga kerja bagi memantapkan operasi Mahkamah Buruh termasuk unit bergerak, selain mengurangkan birokrasi rundingan berasingan antara jabatan bagi isu yang sama.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 