Live Host Guna Bahasa Isyarat Supaya Orang Kurang Upaya Pekak Boleh Shopping -“Respect!”
Senang lepas ini orang OKU pun boleh faham sekali.
Cover image via @abbytan_livehost (TikTok)Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Dalam dunia beli-belah atas talian yang semakin berkembang pesat, semakin ramai peniaga dan hos siaran langsung (live host) berlumba-lumba mencari cara kreatif untuk menarik perhatian pelanggan
Namun, di sebalik strategi promosi dan tawaran menarik, ada juga yang memilih untuk memberi tumpuan kepada aspek inklusiviti.
Baru-baru ini, seorang hos siaran langsung mencuri perhatian ramai apabila menggunakan bahasa isyarat sepanjang sesi jualan.

Guna bahasa isyarat semasa live host untuk mudahkan pembeli orang kurang upaya
Menerusi video perkongsian di TikTok @abbytan_livehost, kelihatan dia menggunakan bahasa isyarat ketika bersiaran langsung jual beli di platform tersebut.
Bercakap kepada SEISMIK, Abby memberitahu dia sebenarnya baru sahaja berjinak-jinak dalam bidang live host. Menurutnya, ibu bapanya merupakan OKU Pendengaran (pekak), namun dirinya normal.
"Saya tidak menggunakan bahasa isyarat sepanjang masa, tetapi ada dalam kalangan komuniti pekak yang mengenali saya kerana saya merupakan jurubahasa isyarat di Berita RTM, atau mungkin juga melalui kawan-kawan ibu bapa saya.
"Jadi bila saya terbaca komen seperti, 'saya pekak' atau 'boleh isyarat?', saya akan terus gunakan bahasa isyarat," jelasnya.
Ditanya mengenai apa yang mendorongnya untuk menggunakan bahasa isyarat semasa menjadi live host, Abby berkata semuanya bermula selepas melihat kesukaran yang dialami ibunya.
"Ibu saya seorang OKU Pendengaran. Pernah satu ketika, ibu mahu beli baju raya tetapi anak-anak yang dewasa tiada di rumah. Yang ada hanyalah adik bongsu. Saya pula bekerja dan menetap di KL, manakala keluarga semua berada di Penang.
"Adik saya tunjuk TikTok Live kepada ibu tentang promosi baju raya, tapi ibu langsung tidak faham kerana tiada sarikata. Malah, hos yang terbabit pun seolah-olah tidak mahu taip di ruangan komen walaupun ibu saya sudah beritahu yang dia pekak.
"Masa itu saya rasa kesian dan terkilan. Saya terfikir, kalau kawan-kawan pekak yang lain pun rasa benda sama macam ibu? Mungkin ibu saya bernasib baik kerana ada anak-anak yang sudah dewasa, tapi bagaimana pula dengan mereka yang masih muda, contohnya ibu bapa lewat 20-an dengan anak kecil berusia tujuh atau lapan tahun? Itu yang akhirnya mendorong saya untuk jadi live host seller," ujarnya.
Lihat video di bawah:
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



