Lelaki Tersalah Bayar RM1.60, Peniaga Dakwa Harga Sebenar Ikan Buntal Bernilai RM1,600
Ramai terkejut bagaimana kesilapan sebesar itu boleh terlepas pandang.

Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Pembayaran digital memang memudahkan, namun tersilap memasukkan angka boleh mengundang kerugian besar
Baru-baru ini, sebuah kedai akuarium di Seri Kembangan berdepan situasi pelik apabila seekor ikan buntal redline bernilai RM1,600 hanya dibayar dengan harga RM1.60.
Dalam satu hantaran Facebook bertarikh 14 September, kedai berkenaan memohon agar pelanggan lelaki yang membuat transaksi melalui e-dompet Touch 'n Go segera tampil. Mereka percaya lelaki itu mungkin tidak sengaja tersilap memasukkan jumlah.
Bercakap kepada Sin Chew Daily, pemilik menjelaskan sistem pembesar suara pembayaran tanpa wayar ketika itu tidak berfungsi, menyebabkan juruwang gagal menyedari kesilapan.

Kecuaian pekerja tidak semak amaun sebelum mengesahkan transaksi
Dia turut mengakui kecuaian pekerja yang tidak menyemak amaun sebelum mengesahkan transaksi.
"Kami tidak berniat untuk memalukan pelanggan itu. Tujuan hantaran hanyalah untuk memaklumkan kesilapan yang berlaku dan kami berharap warganet dapat membantu menjejakinya," kata pemilik.
"Jika dia terbaca, diharap baki dapat dilunaskan. Jika tidak, ini akan jadi hadiah paling mahal dalam hidupnya." tambahnya.
Kejadian tersebut mengundang pelbagai reaksi netizen. Ramai terkejut bagaimana kesilapan sebesar itu boleh terlepas pandang, manakala ada yang berseloroh yang kehilangan dua sifar pastinya akan membuat sesiapa pun terkejut.
Ada juga yang berpendapat nilai RM160 mungkin masih masuk akal untuk dimaafkan, namun bayaran RM1.60 bagi ikan bernilai ribuan ringgit jelas tidak wajar. Rata-rata berharap pelanggan terbabit tampil menyelesaikan baki pembayaran.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



