Lelaki Menyamar Pakai Tudung Pecah Masuk Rumah Sewa Pelajar Universiti Di Shah Alam
Pelajar universiti awam berusia 20-an itu memaklumkan kali terakhir dia berada di rumah tersebut adalah pada 17 Februari sebelum pulang bercuti ke kampung.
Cover image via Kosmo!Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Pihak polis kini sedang giat mengesan suspek yang dipercayai terlibat dalam kes pecah rumah di kawasan Pusat Komersial Seksyen 7, Shah Alam, susulan satu kejadian yang tular baru-baru ini
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol, mengesahkan bahawa pihaknya telah menerima laporan daripada seorang wanita tempatan pada jam 7.20 malam 18 Februari.
Pengadu yang merupakan penyewa di unit berkenaan melaporkan bahawa kediaman yang didiami bersama rakan-rakannya itu telah diceroboh masuk oleh individu yang tidak dikenali.
"Mangsa berusia 20-an yang juga seorang pelajar universiti awam tempatan mengatakan kali terakhir meninggalkan rumah berkenaan pada 17 Februari lalu untuk bercuti di kampung.
"Pada jam 6.30 petang, selepas mangsa pulang bercuti dapati pintu masuk utama rumahnya terbuka dan keadaan di dalam berselerak dipercayai dimasuki individu tidak dikenali," katanya.

Suspek mengenakan pakaian wanita dan membawa beg tangan agar tidak disyaki
Hasil penelitian rakaman kamera litar tertutup (CCTV) oleh pihak polis mendedahkan kelibat seorang lelaki yang belum dipastikan bangsanya menceroboh kediaman tersebut.
Suspek dikesan melakukan pecah rumah pada jam 9.26 pagi semalam, mengambil kesempatan ketika semua penghuni tiada di rumah.
Menurut kenyataan, Ramsay menjelaskan bahawa suspek dikesan cuba mengaburi mata orang sekeliling dengan menyamar menggunakan pakaian wanita, termasuk bertudung dan membawa beg tangan.
Taktik tersebut dipercayai dilakukan bagi mengelakkan perbuatannya dicurigai oleh penghuni lain di kawasan perumahan berkenaan.
Walau bagaimanapun, beliau mengesahkan bahawa tiada sebarang kehilangan barangan berharga atau kerugian harta benda dilaporkan berlaku dalam insiden tersebut.
"Suspek sedang giat dikesan dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan jika didapati bersalah," katanya.
Beliau turut menasihatkan penduduk agar memaklumkan kepada jiran atau balai polis berdekatan sekiranya ingin meninggalkan kediaman untuk bercuti.
Bagi membantu siasatan, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Sarjan Rustam Eliah di talian 019-6148034.
Sebelum ini, satu video tular menunjukkan suspek yang bertudung dan membawa beg tangan sedang memanjat pintu rumah serta cuba mengganggu kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



