Lelaki Maut Ketika Dalam Perjalanan Ambil Susu Anak Yang Tertinggal Di Tempat Kerja
Salam takziah buat seluruh ahli keluarga mangsa.
Cover image via ThreadsFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
"Suami saya sebenarnya sudah pulang lebih awal, namun berpatah balik ke tempat kerja kerana tertinggal susu anak,"
Itu luahan seorang wanita pilu yang kehilangan suaminya dalam kemalangan di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) arah Kepong ke Batu Caves pada 5 November.
Menerusi perkongsian di aplikasi Threads, wanita itu memaklumkan bahawa sebelum kejadian, arwah suaminya sempat meminta agar dia memasak sotong goreng kunyit untuk makan malam.
Namun, hasrat itu tidak kesampaian apabila lelaki berkenaan terbabit dalam nahas ketika dalam perjalanan pulang dari tempat kerja.
"Rupanya suami saya tak makan sebab dia 'syahid' waktu balik kerja. Suami saya sebenarnya dah balik awal, tapi sebab susu anak tertinggal kat tempat kerja, dia patah balik ambil susu anak," tulisnya penuh sebak.

Barang dan pakaiannya turut dipenuhi tumpahan susu anak
Menurut wanita berkenaan, suaminya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dengan wajah tenang seolah-olah sedang tidur.
Lebih menyayat hati, pakaian dan barangan milik arwah turut dipenuhi dengan tumpahan susu anak yang dibawanya pulang.
"Sedekahkan Al-Fatihah buat suami saya tau. Suami saya meninggal di tempat kejadian. Muka dan barang suami penuh dengan tumpahan susu anak. Alhamdulillah suami saya kemalangan, tapi keadaannya sempurna seperti tidur," katanya dalam nada sebak.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa, memaklumkan kemalangan berlaku kira-kira jam 8.20 malam dan membabitkan sebuah motosikal jenis Honda RS150 serta lori Nissan Tipper.
"Lori berkenaan berhenti di bahu kiri jalan kerana mengalami masalah mekanikal sebelum motosikal mangsa dipercayai melanggar besi gandar di bahagian belakang kenderaan itu.
"Penunggang motosikal, seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian badan. Pemandu lori berusia 39 tahun tidak mengalami kecederaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk tindakan lanjut, manakala siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu secara cuai atau berbahaya.
"Polis menasihati semua pengguna jalan raya supaya memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan serta mengelak berhenti di laluan yang boleh membahayakan pengguna lain.
"Saksi yang melihat kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Inspektor Muhammad Razif Jamaluddin di talian 019-4482852 atau Balai Polis Trafik Kuala Lumpur di 03-2071 9999," katanya.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



