Lelaki Kongsi Pengalaman Siap Dapat ‘Free Ride’ & Makan Free Lepas Tahu Asal Dari Malaysia
Tak sangka ramai yang hormat pada Malaysia sebenarnya.
Cover image via Muhamad Zubairi Zakaria (Facebook)Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Tak dinafikan, rakyat Malaysia memang terkenal dengan sikap ramah dan baik hati sampai buat orang luar kagum
Dari sekadar menegur mesra di jalanan, menolong orang dalam kesusahan, sehinggalah sanggup belanja makan atau hulur tumpangan percuma, semua ini jadi bukti bahawa nilai murni masyarakat Malaysia masih kuat berakar dalam kehidupan seharian.
Baru-baru ini, seorang lelaki berkongsi pengalamannya yang mendapat layanan baik ketika berada di luar negara hanya kerana dia rakyat malaysia.

Ramai 'tabik' bila dengar asal dari Malaysia
Menerusi perkongsian di Facebook, seorang lelaki menceritakan pengalaman manisnya ketika merantau ke beberapa negara luar.
Katanya, setiap kali orang luar mengetahui dia berasal dari Malaysia, layanan istimewa yang diterima cukup buat hati terharu.
"Waktu saya ke Perancis, saya naik Uber. Bila pemandu tahu saya orang Malaysia, dia terus bagi saya naik percuma. Katanya Malaysia memang negara yang baik," tulisnya.
Tidak terhenti di situ, pengalaman sama turut dirasainya di Morocco. Dalam perjalanan menaiki kereta api, dia bertemu seorang peguam tempatan yang memuji Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang sangat baik.
Ketika ke Bosnia pula, dia dan rakan-rakan diberi makan percuma di sebuah restoran hanya kerana mereka dari Malaysia.
"Mereka kata ini sebagai tanda terima kasih sebab Malaysia pernah bantu Bosnia semasa perang dahulu," jelasnya lagi.
Di Sepanyol, ketika mendaki kawasan pergunungan Al Pujaras, sebuah keluarga Muslim turut menyatakan rasa hormat mereka terhadap orang Malaysia.
"Katanya orang Malaysia sangat sopan dan baik, mereka nampak sendiri waktu bertemu jemaah haji di Makkah," katanya.
Malah, sewaktu bekerja di sebuah gudang bersama rakan-rakan dari Somalia, Ethiopia, Eritrea, Nigeria dan Romania, dia banyak mendengar cerita tentang keadaan negara mereka.
"Itu buat saya lebih bersyukur dengan keamanan dan kelebihan yang masih kita ada di Malaysia. Ya, memang ada kelemahan, tapi semua itu ditutup dengan nikmat yang lebih besar," ujarnya.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



