Lelaki Hidap Slip Disc Didenda RM4,000 Selepas ‘Skodeng’ Wanita Buang Air Di Tandas Stesen Minyak
Difahamkan, dia bertindak menghendap seorang wanita berusia 28 tahun yang sedang membuang air kecil.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Seorang lelaki berusia 39 tahun menerima padah apabila dia didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Melaka selepas mengaku bersalah menghendap seorang wanita yang sedang membuang air di tandas stesen minyak
Menurut laporan Kosmo!, tertuduh, L. Rames, membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin.
Mengikut fakta kes, lelaki itu didapati memasuki tandas wanita di stesen Petronas MITC, Melaka Tengah, sekitar jam 7.30 pagi pada 8 Disember 2025. Dia bertindak menghendap seorang wanita berusia 28 tahun yang sedang membuang air kecil.
Perbuatannya dilakukan dengan sengaja dan tertuduh seterusnya didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda, atau kedua-duanya sekali.
Tertuduh merayu hukuman diringankan kerana menghidap slip disc

Ketika rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman diringankan atas alasan dia menghidap masalah slip disc dan memerlukan rawatan berterusan di hospital.
Namun pihak pendakwaan melalui Timbalan Pendakwa Raya, Hanis Aliah Ahmad Kamarulnajuib, menegaskan bahawa kesalahan itu serius dan hukuman yang setimpal perlu dijatuhkan sebagai pengajaran bukan sahaja kepada tertuduh, tetapi juga masyarakat.
Selepas menimbang hujah kedua-dua pihak, mahkamah memutuskan untuk menjatuhkan hukuman denda RM4,000 terhadap tertuduh. Sekiranya gagal membayar, dia boleh dikenakan penjara enam bulan.
Kes ini sekali lagi mengingatkan orang ramai bahawa perbuatan mengintai atau menghendap di ruang privasi khususnya tandas adalah satu jenayah serius dan boleh membawa hukuman berat.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 