Lelaki Berkelulusan Sarjana Pilih Untuk Jadi Gelandangan Daripada Kehidupan Elit
Keputusannya meninggalkan gaya hidup mewah demi kehidupan jalanan terus menjadi bualan ramai.
Cover image via South China Morning PostFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Seorang lelaki muda dari China mencuri perhatian dunia apabila sanggup meninggalkan kehidupan mewah demi menjalani kehidupan sederhana sebagai gelandangan
Menurut laporan South China Morning Post, Zhao Dian, 32, yang pernah mengecapi gaya hidup elit, kini hanya berbelanja sekitar 100 yuan (kira-kira RM60 sebulan) untuk kelangsungan hidupnya.
Apa yang mengejutkan, Zhao bukanlah individu biasa. Dia seorang yang cemerlang dalam akademik, malah memiliki dua ijazah sarjana muda dan tiga ijazah sarjana dalam bidang kewangan daripada beberapa institusi berprestij di Sydney, New York, Beijing, dan Paris.
Namun, bagi Zhao, segala pencapaian itu hanyalah satu "belenggu". Beliau melihat kejayaan akademik yang dimilikinya tidak mampu menghapuskan trauma zaman kanak-kanak yang bermasalah, termasuk hubungan yang renggang dengan ibu bapanya.

Jumpa kebahagian melakukan kerja mudah di Paris
Selepas bertahun-tahun menuntut ilmu dan bekerja di luar negara, Zhao akhirnya menemui ketenangan dalam hal-hal kecil, termasuk melakukan tugas biasa seperti mencuci pinggan di sebuah restoran Cina di Paris, yang dianggap lebih membahagiakan berbanding gaya hidup elit yang pernah dimilikinya.
"Mencuci pinggan boleh membawa kebahagiaan, jadi mengapa perlu menunggu pekerjaan yang ideal?" katanya.
Pada tahun 2023, Zhao kembali ke tanah air dan bekerja sebagai pelayan di sebuah festival bir tempatan serta di sebuah hotel. Namun, setahun kemudian, dia membuat keputusan drastik — menetap di Dali, Yunnan, dan menjalani kehidupan sebagai gelandangan.

Kini, Zhao hidup dengan perbelanjaan hanya 100 yuan (sekitar RM60 sebulan). Dia mendapatkan makanan di restoran vegetarian percuma, tidur menjelang jam 9 malam, dan hanya mempunyai simpanan sekitar 2,500 yuan (RM1,500).
Walaupun sudah memutuskan hubungan dengan ibu bapanya yang tinggal di New Zealand, Zhao masih berhubung secara dalam talian dengan anak perempuannya yang berusia 10 tahun hasil perkahwinan terdahulu.
Sebahagian besar masanya kini diisi dengan aktiviti membaca, mengembara, serta menganjurkan kelab buku. Zhao juga aktif berkongsi video kaunseling psikologi dalam talian dan melancarkan projek khas untuk membantu kanak-kanak mencari minat sebenar mereka, kerana percaya ramai generasi muda hilang arah akibat sistem pendidikan yang toksik.
Pilihan hidupnya yang luar biasa itu mencetuskan pelbagai reaksi. Ada yang bersimpati, menganggap Zhao berusaha memulihkan luka emosinya dengan caranya sendiri.
Namun, tidak kurang juga yang mengkritik tindakannya sebagai terlalu idealistik dan tidak bertanggungjawab, kerana mengabaikan pelaburan besar ibu bapanya serta peranannya sebagai seorang bapa.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



