Lelaki Beli Tanah Terbiar 45 Minit Dari KL Terkejut Jumpa Tapir, Kucing Hutan & Hidupan Liar Lain

Haiwan 'rare' pun ada.

Enlarge text
Cover ImageCover image via SAYS
Logo

Follow kami di WhatsApp ChannelsTelegramInstagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.

Bagi mereka yang sudah lama menetap di Lembah Klang, pasti ada sesetengah mereka yang mengimpikan memiliki sebidang tanah sendiri

Tidak dinafikan dengan tanah sendiri anda dapat bercucuk tanam, menikmati udara yang lebih segar, dan bebas daripada kesesakan trafik tanpa perlu berpindah jauh ke negeri lain.

Impian ini menjadi realiti buat seorang penduduk Kuala Lumpur, Shariff Mohamad, 45, apabila dia berjaya memiliki tanah seluas tiga ekar di Hulu Selangor.

Lokasinya juga cukup ideal, hanya sekitar 40 hingga 45 minit perjalanan dari kediamannya.

Namun, apa yang tidak disangka oleh Shariff adalah betapa cepatnya 'penghuni asal' hutan di situ muncul dan mendedahkan keberadaan mereka sebaik sahaja beliau mula menetap di sana.

SAYS.com
Image via SAYS

Dalam perbualannya bersama SAYS, Shariff menyifatkan tanah tersebut sebagai tempat perlindungan peribadi sekaligus projek persaraan jangka panjang yang mementingkan aspek pemuliharaan alam

Setelah bertahun-tahun mencari, dia akhirnya menemui plot tanah yang menepati bajet dan nilai peribadinya, terletak bersebelahan kompleks hutan simpan yang merupakan sebahagian daripada Taman Negeri Selangor.

"Saya memang impikan tanah di tengah alam semula jadi bukan sekadar tempat berteduh, tetapi untuk dilindungi," katanya.

Faktor jarak yang kurang sejam dari rumah memudahkannya untuk kerap berkunjung walaupun sekadar lawatan harian.

Tanah itu asalnya adalah dusun terbiar yang telah kembali menghutan. Bagi Shariff, keadaan itu bukanlah satu kekurangan, sebaliknya satu kelebihan.

Pada mulanya, kawasan tersebut hampir mustahil untuk diterokai. Shariff mengimbau kembali saat pertama kali menjejakkan kaki ke sana bersama isteri dan ejen hartanah, mereka hanya mampu masuk sejauh 20 meter kerana semak yang terlalu tebal dan rupa bumi yang mengelirukan.

Lama-kelamaan, keadaan itu berubah. Dengan hanya bersenjatakan sebilah parang. Kini, dia sudah mampu mengelilingi hampir keseluruhan kawasannya dengan mudah.

SAYS.com
Image via SAYS

"Sekarang saya sudah mahir dengan seluk-beluk tanah ini," selorohnya, "cuma saya masih lemah dalam mengingati kedudukan pokok-pokok yang saya tanam sendiri," katanya.

Bagi mengatasi masalah itu, dia melabel setiap pokok dan memetakan kedudukannya menggunakan aplikasi khas sambil terus menimba ilmu tentang ekosistem hutan yang kian mematang itu.

Tidak lama selepas meninjau kawasannya pada Jun 2025, Shariff memasang kamera perangkap kerana ingin tahu tentang hidupan di situ

Rakaman awal hanya menunjukkan kelibat kera dan beruk, iaitu mamalia yang paling banyak ditemui di tanahnya.

Namun, rakaman seterusnya benar-benar mengejutkannya.

"Apabila pertama kali melihat foto tapir, saya tergamam seketika," kongsi Shariff kepada SAYS.

SAYS.com
Image via SAYS

Walaupun dia tahu tapir memang wujud di kawasan hutan simpan berhampiran, dia tidak menyangka haiwan itu akan berjalan tepat ke arah kamera dan 'berposing' untuk beberapa keping foto yang sangat jelas.

Haiwan tersebut berhenti selama kira-kira 45 saat, tempoh yang cukup lama untuk kamera merakam wajahnya dengan fokus yang tajam.

"Kalau dia berjalan ke arah bertentangan, mungkin saya hanya dapat rakaman bahagian belakangnya sahaja," seloroh Shariff.

Apa yang lebih menarik, kehadiran tapir itu dikesan lebih awal berbanding spesies yang lebih biasa seperti kijang, yang masih belum berjaya dirakam oleh kamera DSLR miliknya.

SAYS.com
Image via SAYS

Selain tapir, Shariff turut mendokumentasikan kehadiran kucing hutan, musang, mengulas (yellow-throated marten), serta sekurang-kurangnya 16 spesies mamalia lain di tanahnya

Dia percaya tarikan utama hidupan liar ke situ adalah sumber makanan. Kehadiran pokok buah hutan seperti ara, tarap, dan rambai, ditambah pula dengan dusun-dusun berhampiran, menjadikan kawasan tersebut "syurga" bagi haiwan ini.

"Makanan adalah faktor utama yang membuatkan haiwan liar mahu terus menggunakan sesuatu kawasan," jelasnya.

Meskipun air dan tempat berlindung mudah didapati di hutan Malaysia, sumber makanan yang konsisten adalah kunci utama haiwan-haiwan ini kembali.

SAYS.com
Image via SAYS

Setiap spesies mempunyai waktu "kemunculan" yang berbeza. Monyet dan kera pada waktu siang, kucing hutan serta musang pada waktu malam, manakala babi hutan pula muncul pada bila-bila masa sahaja.

Bagi Shariff, usaha menghutankan semula (rewilding) adalah tentang perlindungan, bukannya kawalan.

Dia yang menyifatkan dirinya sebagai peminat alam yang masih belajar, membiarkan proses pemulihan tanah berlaku secara semula jadi. Peranannya hanya tertumpu kepada membuang tumbuhan invasif, menanam pokok asli, dan memastikan tanah tersebut kekal sebagai hutan berbanding ditukar menjadi kawasan pertanian.

"Sumbangan terbesar saya sebenarnya adalah dengan membeli tanah ini," katanya.

Dengan memiliki tanah tersebut, dia secara tidak langsung telah menyelamatkannya daripada sebarang pembangunan pada masa hadapan. Dia berharap agar tanah itu akan terus berfungsi sebagai ekosistem hutan yang sihat, manakala kegunaan manusia pula kekal pada tahap paling minimum.

SAYS.com
Image via SAYS

Bagi Shariff, tanah seluas tiga ekar miliknya itu bukanlah penyelesaian mutlak, namun dia melihatnya sebagai sebahagian daripada gambaran yang lebih besar

Dia percaya jika lebih banyak pemilik tanah, pengusaha ladang, dan komuniti setempat sudi melindungi walaupun sekecil-kecil kelompok hutan, impak kolektifnya terhadap alam sekitar pasti sangat bermakna.

"Sebagai rakyat di salah sebuah negara yang mempunyai kepelbagaian biologi paling kaya di dunia, saya rasa kita mempunyai tanggungjawab untuk memastikan Malaysia kekal sedemikian," tambahnya.

Kadangkala, usaha pemuliharaan ini bermula dengan hanya membiarkan alam semula jadi menjalankan fungsinya yang asal walaupun lokasinya hanya 45 minit dari hiruk-piruk kota.

SAYS.com
Image via SAYS

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!

Image via SAYS Seismik