Lebih 10,000 Pasangan Di Selangor Bercerai Tahun Ini, Masalah Duit Antara Punca Utama
Beliau menasihati pasangan tidak terburu-buru memfailkan perceraian, sebaliknya mendapatkan bantuan kaunselor bertauliah.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Sebanyak 10,815 kes perceraian pasangan Islam direkodkan di Selangor dalam tempoh Januari hingga September tahun ini, dengan isu kewangan dan masalah komunikasi dikenal pasti sebagai punca utama perpisahan
Menurut laporan Berita Harian, Ketua Hakim Syarie Selangor, Datuk Mohammad Adib Husain, berkata daripada jumlah keseluruhan itu, 6,827 kes membabitkan pasangan yang melafazkan cerai di hadapan hakim Mahkamah Syariah, manakala 3,445 kes lagi adalah pengesahan lafaz cerai di luar mahkamah yang kemudian disahkan secara rasmi oleh hakim.
Selebihnya terdiri daripada permohonan fasakh (470 kes), khuluk (26 kes) dan taklik (47 kes).
Beliau berkata, antara corak yang dikenal pasti dalam kebanyakan kes ialah kegagalan pasangan menyeimbangkan tanggungjawab ekonomi dan komunikasi dalam rumah tangga.
"Ada suami melihat isteri bekerja lalu mengambil mudah tanggungjawab memberi nafkah. Akhirnya timbul rasa tidak puas hati dan ketegangan dalam rumah tangga.
"Ada yang baru dua atau tiga tahun berkahwin sudah bercerai dan ada juga yang sudah hidup bersama lebih 30 tahun akhirnya berpisah. Namun, purata umur pasangan yang bercerai sekitar 40 tahun," katanya.

Ketua Hakim Syarie Selangor, Datuk Mohammad Adib Husain (kanan) serta pegawai Jabatan Kehakiman Syariah Selangor ketika lawatan kerja ke Balai Berita Bangsar.
Image via NSTP/ROHANIS SHUKRIMasalah komunikasi dan kekasaran dalam perhubungan turut menjadi antara penyumbang utama perceraian
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sesi lawatan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Selangor (JAKESS) ke Balai Berita pada Selasa.
Dalam lawatan berkenaan, Datuk Mohammad Adib Husain bersama pegawai-pegawai Mahkamah Syariah Selangor dibawa melawat ke studio berita dan 'Command Centre' Jabatan Berita dan Hal Ehwal Semasa (NCA).
Turut hadir, Timbalan Pengarang Kumpulan Berita Harian (BH), M Thillinadan, serta Pengarang Kumpulan Harian Metro, Husain Jahit.

Gambar sekadar hiasan.
Image via Berita HarianMengulas lanjut, Mohammad Adib berkata, masalah komunikasi dan kekasaran dalam perhubungan turut menjadi antara penyumbang utama perceraian, khususnya apabila pasangan gagal berinteraksi secara sihat walaupun tinggal serumah.
"Ada pasangan duduk sebumbung tapi tidak bertegur sapa… suami di ruangan atas, isteri di bawah, tiada komunikasi," katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihati pasangan agar tidak terburu-buru memfailkan perceraian, sebaliknya mencari ruang untuk berdamai dengan mendapatkan bantuan pihak berkaitan seperti kaunselor bertauliah, pegawai agama atau imam di kawasan masing-masing.
"Saya rasa itu penting, walaupun bukan satu kewajipan untuk mereka mendapatkan bantuan pihak lain sebelum ke mahkamah, sekurang-kurangnya dapatkan pandangan dan nasihat daripada mereka yang berilmu serta berpengalaman.
"Kadang-kadang isu rumah tangga boleh diselesaikan melalui perbincangan antara pasangan atau keluarga terlebih dahulu," katanya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 