Lebih 1,000 Kenderaan Malaysia Tersadai Di Selatan Thailand, Banyak Yang Tenggelam Di ‘Basement’
Walau bagaimanapun, situasi dijangka pulih dalam dua minggu jika cuaca bertambah baik.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Lebih 1,000 kenderaan milik rakyat Malaysia, termasuk kereta serta motosikal berkuasa tinggi dipercayai masih tersadai di selatan Thailand selepas banjir besar melanda kawasan itu pada 22 November lalu
Menurut laporan Harian Metro, insiden yang turut memerangkap kira-kira 4,000 rakyat Malaysia di Hatyai telah menyebabkan ribuan kenderaan terkandas, malah ada yang hanyut dibawa arus deras sungai.
Walaupun air sudah mulai surut di beberapa kawasan, usaha membawa pulang kenderaan masih berdepan cabaran besar.
Pengarah Urusan Gothai.my Sdn Bhd, Mohd Syafiq Johari berkata, pihaknya kini sedang bekerja keras mengesan dan menyelamatkan kenderaan pelanggan di Thailand.
Namun cabarannya luar biasa ekoran banyak kenderaan masih berada di kawasan parkir bawah tanah hotel di Hatyai yang masih digenangi air sedalam hampir dua meter.

"Pasukan kami di Thailand kini sedang berusaha menggerakkan proses menunda, namun kawasan terjejas memerlukan peralatan khas selain tenaga pakar untuk mengalihkan kenderaan yang kebanyakannya terbalik, tersangkut atau tenggelam sepenuhnya.
"Yang paling sukar ialah kenderaan di bawah basement. Air masih belum dipam keluar dan keadaan terlalu berisiko. Kita perlu tunggu lampu hijau daripada pihak berkuasa di sana dahulu sebelum proses tunda boleh dibuat," katanya.
Disebabkan risiko tinggi dan keadaan tidak stabil, operasi menunda tidak dapat dijalankan sehingga pihak berkuasa Thailand memberi kebenaran penuh. Proses tersebut sudah tertangguh hampir seminggu.
Peralatan khas & kepakaran diperlukan, banyak lokasi masih tidak selamat
Walaupun beberapa pasukan penyelamat termasuk syarikat insurans sudah berada di lokasi, usaha mengalihkan kenderaan terjejas tetap sukar. Sesetengah kawasan di Hatyai masih ditenggelami banjir, menyukarkan trak tunda memasuki kawasan tersebut.
"Kami perlukan peralatan khas untuk tarik kenderaan yang tersangkut dan terbalik. Bukan semua kawasan selamat untuk dimasuki," jelasnya.
Walaupun pakej premium Gotai.my menyediakan perkhidmatan tunda pulang secara percuma, ia tidak termasuk perlindungan bencana seperti banjir.
Untuk membuat tuntutan kerosakan, pemilik perlu mempunyai polisi insurans Malaysia yang ditambah dengan perlindungan bencana dan perlindungan perluasan 101.
Ramai mangsa dilaporkan panik ketika banjir kerana elektrik terputus dan capaian internet terhad. Syarikat itu menerima ratusan panggilan kecemasan sepanjang kejadian.

Dalam masa sama katanya, syarikat itu sudah membuat pulangan wang insurans kira-kira RM20,000 kepada mereka yang membatalkan perjalanan ke Thailand.
"Sebahagian pelanggan memilih menukar destinasi ke lokasi lain seperti Krabi, Phuket dan Koh Samui yang tidak terjejas, manakala sebahagian lagi menangguhkan perjalanan sehingga keadaan benar-benar pulih.
"Jualan insurans di pihak kami turut merosot sehingga 90 peratus ketika awal banjir, namun kini perlahan-lahan naik semula dengan penurunan sekitar 60 hingga 70 peratus," katanya.
Situasi dijangka pulih dalam dua minggu jika cuaca bertambah baik
Sekiranya cuaca cerah dan kerja pemulihan berjalan lancar, pergerakan keluar masuk Malaysia–Thailand dijangka kembali normal dalam tempoh dua minggu.
Namun Mohd Syafiq mengingatkan rakyat Malaysia untuk lebih bersedia sebelum melancong ke Thailand pada musim hujan. Beliau turut menegaskan bahawa ramai mangsa terperangkap kerana menyangka gelombang kedua banjir tidak akan seburuk gelombang pertama.
"Pertama sekali, pastikan insurans lengkap. Kita tak boleh jangka keadaan cuaca sekarang. Lebih baik sedia daripada menanggung kerugian besar," katanya lagi.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 