Larangan Berbasikal Di Lebuh Raya Sudah Lama Ada, Jika Ingkar Boleh Dikenakan Tindakan – PDRM
Penunggang basikal yang melanggar larangan boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 70(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Cover image via Harian MetroFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Aktiviti berbasikal di lebuh raya sebenarnya dilarang sama sekali di Malaysia
Ia kerana laluan tersebut direka khas untuk kenderaan bermotor seperti lori, bas dan motosikal yang pastinya bergerak laju dan boleh mendatangkan risiko besar kepada penunggang basikal.
Menurut laporan Buletin TV3, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri memberitahu perkara ini bukan baharu, malah penunggang motosikal pun diwajibkan mengikut peraturan yang telah ditetapkan di bawah Kaedah Lalu Lintas.
"Dalam Kaedah Lalu Lintas LN165/59 ada menyatakan 18 peraturan asas berkaitan penunggang basikal yang perlu dipatuhi termasuk Peraturan 65 iaitu sentiasa mematuhi undang-undang semua kaedah dan peraturan lalu-lintas.
"Jangan sesekali tidak mempedulikan isyarat jalan. Isyarat tangan bagi keselamatan dan tunjuk arah serta pemandu kenderaan bermotor yang lain.
"Bagi Peraturan 66, mereka perlu menggunakan laluan paling selamat dan menjauhi lalu-lintas yang sibuk," katanya.

Gambar sekadar hiasan.
Image via Harian MetroPBT diarah letak papan tanda larangan bagi melarang penunggang basikal
Dalam pada itu, Mohd Yusri berkata pihak konsesi lebuh raya atau pihak berkuasa tempatan (PBT) disaran untuk memasang papan tanda larangan yang jelas, bagi memaklumkan bahawa penunggang basikal tidak dibenarkan menggunakan laluan lebuh raya.
Beliau menjelaskan bahawa larangan ini bukan baharu, malah telah termaktub dalam undang-undang melalui Kaedah Isyarat Lalu Lintas LN167/59, khususnya di bawah Peraturan 17, yang turut meliputi kenderaan seperti basikal roda tiga, beca dan kenderaan ditarik haiwan.
"Kedua-dua tanda isyarat berkaitan larangan itu perlu dipasang oleh pihak konsesi atau pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memberikan pemberitahuan yang jelas kepada pengguna jalan raya," jelasnya.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri.
Image via Berita HarianTambahnya, penunggang basikal yang melanggar larangan boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 70(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Individu yang bersalah boleh dikenakan denda mencecah RM1,000 hingga RM5,000 atau penjara 12 bulan bergantung kepada kesalahan dilakukan," katanya.
Difahamkan, secara umum, terdapat dua tujuan berbasikal di Malaysia iaitu bagi tujuan rekreasi dan pengangkutan.
"Untuk tujuan rekreasi, penunggang sepatutnya berkayuh di kawasan taman yang membenarkan aktiviti rekreasi atau semasa program kayuhan basikal dianjurkan oleh PBT atau pihak lain.
"Seorang penunggang basikal perlu mematuhi 18 peraturan asas LN 165/59 yang ditetapkan sebagai pengguna jalan raya," katanya.
Jalan raya di Malaysia lebih memberi penekanan kepada pergerakan kenderaan bermotor.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



