Laluan Pendakian Gunung Liang Ditutup Serta-Merta, Pendaki Diminta Tangguh Aktiviti
Arahan penutupan dikeluarkan Pengarah Perhutanan negeri, Datuk Mohd Basri Abdul Manaf.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Kawasan pendakian Gunung Liang di daerah Perak Selatan ditutup kepada orang awam berkuat kuasa serta-merta sehingga tarikh yang akan dimaklumkan kemudian
Menurut hantaran di Facebook rasmi Jabatan Perhutanan Negeri Perak (JPNP), arahan penutupan itu dikeluarkan oleh Pengarah Perhutanan Negeri, Datuk Mohd Basri Abdul Manaf.
"Adalah dimaklumkan bahawa kawasan pendakian Gunung Liang, Daerah Perak Selatan, Perak adalah ditutup kepada orang awam berkuatkuasa serta-merta sehingga ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak," tulis kenyataan itu.

Penutupan dikecualikan bagi program dan penganjuran tertentu
Bagaimanapun, JPNP memaklumkan bahawa arahan penutupan itu tidak terpakai bagi penganjuran program rasmi jabatan seperti Program Konservasi Trek Pendakian dalam kawasan Hutan Simpanan Kekal, sebagaimana yang telah ditetapkan sebelum ini.
"Bagaimanapun, arahan penutupan dikecualikan bagi penganjuran program jabatan seperti Program Konservasi Trek Pendakian dalam Hutan Simpanan Kekal seperti mana yang telah ditetapkan.
"Berpandukan Seksyen 47, Enakmen Akta Perhutanan Negara 1984 (Pemakaian) 1985, ketidakpatuhan arahan ini boleh dikenakan denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekiranya disabitkan kesalahan," menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, seorang pendaki, Mustaqqeem Mansoor, 34, ditemukan meninggal dunia di puncak Gunung Liang Barat dekat Tanjong Malim pada 16 Oktober lalu, kira-kira jam 3.30 petang.
Mangsa telah memulakan pendakian bersama 10 rakan dari Bukit Fraser, Pahang pada 10 Oktober dan kali terakhir dilihat pada 14 Oktober.
Jenazah Mustaqqeem dibawa turun dari puncak gunung berketinggian 1,933 meter menggunakan helikopter AW189 milik Pasukan Khas Udara Bomba pada jam 2.45 petang, 17 Oktober.
Hasil bedah siasat kemudian mengesahkan punca kematian adalah akibat hipotermia.
Setakat 19 Oktober, pihak polis telah memanggil lapan individu termasuk peserta dan rakan pendaki mangsa bagi membantu siasatan berhubung insiden berkenaan.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 