Kutipan Parkir RM3 Di Pantai Klebang Rupanya ‘Kerja Haram’, MBMB Sedia Ambil Tindakan
Harap ramai lah tak 'terkena' lepas ini.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Isu kutipan bayaran parkir RM3 di Pantai Klebang yang tular di media sosial sejak hujung minggu lalu akhirnya terjawab apabila Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) mengesahkan aktiviti tersebut adalah tidak sah
Menurut laporan Sinar Harian, Datuk Bandar MBMB iaitu Datuk Shadan Othman berkata, kawasan pantai berkenaan sebenarnya masih percuma dan tidak dikenakan sebarang bayaran kepada orang awam.
"Sejurus isu tersebut tular di media sosial, anggota penguat kuasa kami telah turun ke lokasi malam Ahad mendapati kutipan RM3 itu beroperasi secara tidak sah.
"Namun, tiada kelibat ulat parkir kelihatan sewaktu pemeriksaan dijalankan selepas sedar kegiatan mereka tular," katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas perkongsian seorang pengunjung di media sosial yang memuat naik resit bayaran parkir RM3 di pantai itu, sekali gus mencetuskan kekeliruan dalam kalangan pengunjung.

Untuk makluman, Pantai Klebang sebelum ini tidak pernah mengenakan sebarang caj parkir, menyebabkan ramai tertanya-tanya tentang kesahihan bayaran yang diminta
Beliau turut memaklumkan bahawa kegiatan sama dipercayai berlaku di beberapa lokasi tumpuan lain, terutama ketika hujung minggu dan musim cuti sekolah apabila jumlah pengunjung meningkat.
"Mana-mana individu atau syarikat yang menjalankan aktiviti kutipan parkir perlu mendapatkan permit dan lesen daripada MBMB yang dipamerkan untuk rujukan pengguna.
"Bagaimanapun setakat ini MBMB tidak pernah mengeluarkan sebarang kebenaran kepada mana-mana syarikat atau individu untuk menjalankan kutipan parkir di Pantai Klebang," katanya lagi.
Susulan itu, MBMB menegaskan akan terus memperketat pemantauan serta menjalankan operasi penguatkuasaan secara berkala dan mengejut bagi membanteras aktiviti kutipan parkir haram di kawasan tumpuan awam.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 