Kumpulan Ajaran Sesat Di Jerantut Diserbu JAIP, Dakwa Solat Jamak Dua Rakaat Sepanjang Hidup
Hasil siasatan awal mendapati ketua kumpulan berusia 45 tahun itu berasal dari Kampung Sungai Tekam Utara, Jerantut.
Cover image via Harian MetroFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) telah menahan ketua beserta tujuh pengikut kumpulan Jemaah Nur Ahmad Istana Pelangi
Ia susulan siasatan terhadap kegiatan yang disyaki menyimpang daripada ajaran Islam.
Menerusi laporan Berita Harian, Pengarah JAIP, Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman, memaklumkan bahawa penahanan dilakukan sekitar jam 2.30 petang di sebuah bekas gudang perabot yang dipercayai dijadikan tempat tinggal ahli kumpulan berkenaan di Kampung Sungai Putat, Pulau Tawar, Jerantut.
Dalam operasi itu, pelbagai dokumen yang didakwa bercanggah dengan ajaran dan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah serta barangan berunsur khurafat turut dirampas bagi tujuan siasatan lanjut.

Dokumen bercanggah akidah dan barangan berunsur khurafat turut dirampas
Pelbagai dokumen bercanggah dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah serta barangan berunsur khurafat turut dirampas, termasuk tongkat, ikatan kain kuning, kain hitam didakwa mampu mengayakan seseorang, dan batu dililit kain kuning.
"Turut dirampas ialah kertas tertera cara niat solat jamak fardu seumur hidup serta nota lafaz selawat dan ikrar yang meragukan.
"Berdasarkan penemuan dokumen dan barangan berkenaan, kumpulan itu disyaki terbabit amalan bertentangan dengan ajaran serta fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah. Semua rampasan akan dirujuk kepada Jabatan Mufti Pahang untuk penelitian lanjut," katanya.
Menurut beliau, ketua kumpulan berusia 45 tahun yang digelar 'ayahanda' berasal dari Kampung Sungai Tekam Utara, Jerantut, dipercayai menyewa dan mengubah suai premis itu sejak lebih dua tahun lalu menjadi tempat tinggal bersama isteri serta empat anak mereka.
"Hasil soal siasat mendapati pengikut kumpulan berusia 45 hingga 66 tahun berasal dari Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Johor dan Melaka.
"Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti tempoh sebenar kegiatan itu serta mengesan individu lain yang mungkin terbabit," katanya.


Beliau menambah, semua suspek tidak mempunyai rekod kesalahan syariah, namun semakan lanjut bersama polis sedang dijalankan.
JAIP turut menyeru orang ramai menyalurkan maklumat sekiranya mengetahui kegiatan kumpulan berkenaan bagi membantu usaha membanteras ajaran bertentangan Islam.
Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013 kerana memiliki dokumen bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah, serta Seksyen 19 enakmen sama kerana tidak menunaikan solat Jumaat.
Semua suspek dibebaskan dengan jaminan penguat kuasa JAIP sementara kertas siasatan dilengkapkan untuk tindakan lanjut di Mahkamah Rendah Syariah Jerantut.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



