“Kuku Pekerja Hitam Kotor, Najis Lipas & Tikus” – Restoran Terkenal Di Georgetown Diarah Tutup
Sebanyak 20 kesalahan dikenal pasti semasa pemeriksaan dilakukan.
Cover image via Zuhainy Zulkiffli/ NSTPFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Dapur sebuah restoran terkenal di Jalan Penang, dikesan dalam keadaan amat tidak memuaskan
Difahamkan, ia apabila pemeriksaan pihak berkuasa mendapati ia dipenuhi lipas dan tikus, selain najis haiwan perosak itu berselerakan di beberapa sudut.
Menerusi laporan Harian Metro, hasil pemeriksaan oleh Pasukan Operasi Pejabat Kesihatan Daerah Timur Laut turut menemui lantai dapur yang berlendir serta menjijikkan, sementara kotak penyimpanan rempah didapati menjadi 'sarang' puluhan ekor lipas.
Lebih membimbangkan, serangga perosak itu juga kelihatan berkeliaran di sekitar pintu bilik sejuk beku, manakala bahan mentah seperti daging, ayam dan sotong tidak disimpan dalam bekas yang sesuai atau sempurna.

Sebanyak 20 kesalahan dikenal pasti semasa pemeriksaan
Pegawai Operasi Unit Keselamatan dan Kualiti Makanan, M Shashikumaran, berkata sebanyak 20 kesalahan dikenal pasti sepanjang pemeriksaan, termasuk pengendali makanan yang memakai cincin serta tidak menjaga kebersihan kuku dengan keadaan hitam dan kotor.
"Makanan diletak di atas lantai, malah terdapat tong sampah di dapur yang tidak ditutup dan diletak bersebelahan kawasan penyediaan makanan.
"Lantai dapur yang pecah menakung air, manakala lantai dalam bilik sejuk beku berada dalam keadaan tidak memuaskan," katanya.

Mengulas lanjut, Shashikumaran memaklumkan bahawa beberapa pengendali makanan turut didapati tidak mendapatkan suntikan anti tifoid, manakala stor penyimpanan bahan mentah pula berada dalam keadaan tidak tersusun, kotor dan jauh daripada piawaian kebersihan.
Susulan itu, katanya, pemilik premis telah dikenakan tiga kompaun berjumlah RM3,000 selain restoran berkenaan diarah tutup selama 14 hari bermula 17 September, mengikut peruntukan Seksyen 11 Akta Makanan 1983.
"Dalam operasi itu, sebuah lagi premis yang menjual hidangan ala Thai turut diberi notis penutupan sementara selama 14 hari mengikut seksyen sama. Dua kompaun berjumlah RM2,000 dengan sembilan kesalahan dikesan termasuk penemuan lipas," katanya.
Sementara itu, pemilik premis terbabit menyatakan pihaknya akur dengan arahan penutupan tersebut dan berjanji akan mengambil langkah segera untuk membersihkan keseluruhan ruang dapur.
"Kali terakhir premis ini ditutup ialah kira-kira lima tahun lalu dan kami terus lakukan kerja pembersihan sebaik terima notis, begitu juga pada hari ini," katanya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



