Kucing Malaysia ‘Baby’ Cipta Sejarah Sekali Lagi, Dinobat Juara Dunia 2025
Difahamkan, ratusan kucing terbaik seluruh dunia menyertai pertandingan berprestij di Bucharest, Romania itu.
Cover image via @mommy_gojes_miko (TikTok)Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Siapa sahaja yang tidak tertarik dengan kecomelan si comel berbulu lembut, kucing yang sering menjadi teman setia di setiap rumah
Ia bukan sekadar haiwan peliharaan tetapi juga penghibur kecil yang mampu menceriakan suasana.
Dengan telatah manja, renungan mata bulat dan aksi spontan yang mencuit hati, kehadirannya sering menjadi penawar kepada hari yang suram.
Setiap gerak dan langkahnya seolah-olah mempunyai cerita tersendiri, membuatkan sesiapa sahaja mudah jatuh hati.
Tidak hairanlah, kucing dianggap antara haiwan paling setia dan mudah menyesuaikan diri, menjadikannya sahabat paling ideal buat mereka yang menghargai kasih tanpa syarat.

Sekali lagi mengharumkan nama Malaysia di persada dunia
Tular apabila seekor kucing comel bernama Baby mencuri tumpuan dunia apabila sekali lagi melakar sejarah tersendiri dinobatkan sebagai juara dunia dalam Pertunjukan Kucing Antarabangsa (World Winner Show 2025).
Pertandingan berprestij yang menghimpunkan ratusan kucing terbaik dari seluruh dunia itu berlangsung penuh gemilang selama dua hari di Bucharest, Romania, dari 25 hingga 26 Oktober lalu, menyaksikan Baby mengungguli saingan dan menobatkan namanya di pentas tertinggi dunia felin.
Menerusi perkongsian di media sosial oleh @mommy_gojes_miko, kemunculan Baby sebagai juara bukan sekadar membanggakan Malaysia, malah turut menewaskan pesaing dari pelbagai negara dalam pertandingan penuh berprestij itu.
"Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kami ucapkan kepada Brit Malaysia atas sokongan dan tajaan bagi perjalanan kami ke World Cat Show 2025 di Romania," ujar beliau.


Kejayaan Baby dilihat bukan datang secara kebetulan. Penjagaan rapi dan dandanan sempurna oleh pemiliknya menjadikan Baby tampil menawan dan kemas di pentas pertandingan.
"Sokongan daripada Brit bukan sahaja membantu kami merealisasikan impian untuk terus bertanding di pentas dunia, tetapi juga memberi semangat kepada kami untuk terus membawa nama Malaysia ke peringkat antarabangsa," katanya.
Sementara itu, menerusi hantaran di laman rasmi The Official Site of Kelab Kucing Malaysia (KKM), pihak kelab turut menzahirkan rasa bangga apabila Malaysia sekali lagi mencipta sejarah dengan merangkul gelaran berprestij World Winner 2025 di FIFe World Cat Show 2025.
"Kemenangan ini menjadi bukti kehebatan dan dedikasi ahli Kelab Kucing Malaysia dalam mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.
"Terima kasih atas doa dan sokongan semua. Kejayaan ini milik kita bersama," kata hantaran itu.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!


