Kucing Evian Dinobat Sebagai Juara Super ‘Meow-Del’ Pertama Malaysia Di Cat Fashion Week 2025

Anugerah khas, FELIX – Si Bulus Paling Memikat pula dimenangi Goyem milik Siti Rohani.

Enlarge text
Cover ImageCover image via TV3Malaysia
Logo

Follow kami di WhatsApp ChannelsTelegramInstagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.

Keanggunan, kreativiti dan keunikan persembahan memahat detik bersejarah di pentas akhir Cat Fashion Week apabila Nor Anis Halyatie bersama kucing jantan baka ragdoll-nya, Evian, dinobatkan sebagai juara

Mereka menewaskan tujuh finalis lain dalam episod akhir yang disiarkan semalam, sekali gus membawa pulang trofi dan wang tunai RM5,000.

Sorakan penonton bergema saat lapan 'meow-nalist,' Juny, Omey, Goyem, Chibbu, Evian, Winter, Kristoff dan Mocha, melangkah ke pentas peragaan bak selebriti, mencipta pemandangan yang jarang sekali menghiasi dunia hiburan dan skrin televisyen.

Pentas akhir ini melangkaui definisi pertunjukan fesyen biasa; ia menjadi gelanggang yang menyatukan kreativiti, kisah unik dan ikatan kasih sayang antara pemilik dan kucing mereka. Ada yang sanggup melabur sehingga RM5,000 untuk busana jahitan tangan, manakala ada juga yang teliti menghasilkan 'props' buatan sendiri, diinspirasikan daripada warna bulu dan mata si bulus masing-masing.

SAYS.com
Image via TV3Malaysia

Evian memukau sebagai bintang utama!

Bagaikan raja di singgahsana, Evian mempesonakan pentas dengan konsep 'royalty' yang mencerminkan karakter sebenar dirinya yang tegas tentang ketepatan masa, terutama waktu makan. Rona biru gelap menjadi pilihan Nor Anis, yang diilhamkan daripada mata Evian, dilengkapkan dengan jubah baldu berhias manik emas yang memberikan aura bangsawan.

"Tak sangka langsung kami boleh menang! Mula-mula masuk pun sekadar suka-suka, sebab ini kali pertama saya sertai pertandingan macam ni. Konsep royalty memang tepat dengan karakter Evian yang macam raja. Hadiah kemenangan belum fikir lagi… mungkin saya akan beri dia ayam rebus kegemarannya," ujar Anis, yang sudah membela Evian sejak kucing itu berusia dua tahun.

Naib juara menjadi milik Juny, si ratu berbulu gebu, yang menyerlah dalam gaun merah mewah hasil jahitan tangan suami pemiliknya, Nur Farahin. Pasangan ini menyulam kehangatan kasih sayang keluarga yang diterjemahkan melalui persembahan yang menyentuh hati semua pihak.

Chibbu bersama Sharifah Nurulawwal pula meraih tempat ketiga dengan membawa penonton 'mengembara' ke era Mesir Purba. Dari kostum mewah hingga aksesori permata bergemerlapan dan 'props' padang pasir, setiap perincian diolah dengan teliti. Kehadiran dua 'dayang' sebagai pengiring Chibbu pula menambah sentuhan dramatik yang menjulang persembahan ke tahap berkelas.

SAYS.com
Image via TV3Malaysia

Anugerah khas, FELIX – Si Bulus Paling Memikat, dimenangi Goyem milik Siti Rohani, yang sanggup merentas jauh dari Kedah demi penyertaan pertamanya

Menggayakan tema misi operasi lengkap dengan topi koboi yang diperbuat daripada kain songket, Goyem membuka persembahan dengan gimik keluar dari sebuah kotak, yang mempunyai persamaan dengan detik pertama Siti Rohani menemuinya sebelum memulakan 'misi' di atas pentas.

Sorotan persembahan finalis Lain:

  • Omey milik Nurul Izzah tampil bergaya ala pelumba F1, lengkap dengan kereta mainan khas, memasuki pentas seolah-olah sedang memecut laju di litar perlumbaan. 
  • Winter milik Zakry Shazryl menghidupkan suasana futuristik glamor, dengan aksesori emas yang menawan, diiringi sinaran latar kaleidoskopik yang menyerlahkan elemen 'high fashion.'
  • Kristoff, milik Nurmayani, tampil bergaya dalam seragam kapten lengkap dengan topi dan sayap mini, seakan bersedia 'menerbangkan' penonton ke destinasi eksklusif. Menariknya, penampilan ini juga menjelmakan 2-in-1 show sebagai 'Catman' yang penuh pesona.
  • Mocha milik Siti Khadijah memikat hati dengan penampilan puteri dongeng bersayap rama-rama, mencipta ilusi seperti melangkah keluar dari hutan magis penuh keajaiban. 
SAYS.com
Image via TV3Malaysia

Puan Marlia Zul Amran, Pengurus Besar Kandungan TV3, berkongsi rasa teruja atas usaha luar biasa para peserta. "Semua konsep datang terus daripada peserta sendiri. Mereka sangat bersungguh-sungguh, persiapannya ibarat untuk Anugerah Juara Lagu (AJL). Kami juga mengadakan sesi perbincangan bersama finalis bagi memperhalusi konsep persembahan supaya dapat memenuhi apa yang mereka inginkan," kata beliau.

Bercakap lanjut mengenai Cat Fashion Week, Puan Marlia menambah, "Program ini benar-benar segar untuk tontonan umum, dengan menampilkan kucing sebagai bintang utama. Kami berharap ia dapat memupuk rasa sayang terhadap haiwan sambil mewujudkan lebih banyak kenangan manis bersama kucing kesayangan."

Pentas akhir diadili oleh Mohd Jeffrey, Mark Adam, Shiha Zikir, dan Rizman Nordin, yang masing-masing membawa perspektif unik dan pandangan tersendiri. 

SAYS.com
Image via TV3Malaysia

Menurut Mohd Jeffrey, pengasas dan pakar dandanan kucing MJMA Academy, penjagaan kucing sangat mengagumkan dengan bulu yang sihat dan bebas masalah kulit, dipadankan dengan rekaan busana yang benar-benar 'on point'. Beliau turut menambah bahawa penilaian kesihatan kucing turut diambil kira oleh juri semasa proses penjurian. Shiha Zikir pula berkongsi, "Saya tidak pernah melihat program sebegini sebelum ini. Sangat menyeronokkan dan saya berharap ia boleh diteruskan sebagai acara tahunan. Usaha mereka memang luar biasa."

Rizman Nordin, pereka fesyen terkenal, mengakui beliau terkejut apabila dijemput mengadili pertandingan ini, namun sangat tertarik dengan pengalaman tersebut. "Saya tidak pernah dijemput menjadi juri pertandingan fesyen kucing sebelum ini. Namun, pengalaman ini amat berbaloi kerana saya berpeluang menyaksikan sendiri usaha luar biasa, kreativiti serta pementasan yang dirancang dengan rapi."

Dalam pada itu, Mark Adam, yang telah menjadi juri sejak pusingan 'pre-judging' tempoh hari, menyifatkan program ini sebagai 'langkah bijak' yang memanfaatkan populariti kucing di Malaysia, sebuah negara yang tergolong dalam kelompok 10 teratas dunia dari segi pemilikan kucing. 

SAYS.com
Image via TV3Malaysia

Untuk rekod, Cat Fashion Week merupakan program realiti TV3 yang buat julung kali menggabungkan elemen kucing, fesyen, hiburan dan kecintaan terhadap si bulus di kaca televisyen. Program ini memaparkan ikatan erat antara pemilik dan kucing kesayangan, sambil menonjolkan kepentingan penjagaan serta kebajikan haiwan.

Dunia fesyen kini berkembang dengan penganjuran Cat Fashion Week, yang membuktikan si bulus juga mampu memikat lensa kamera serta menyentuh hati penonton melalui gaya dan pesona yang ditonjolkan. 

Cat Fashion Week dibawakan oleh penaja PURINA FELIX – Rasa Memikat, Kucing Buat Apa Saja!, serta rakan radio rasmi Hot FM dan rakan digital rasmi SAYS.

Untuk mendapatkan info terkini tentang TV3 atau drama kegemaran anda, layari laman sosial Facebook, Twitter, YouTube, TikTok dan Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia!

Senarai Penuh Pemenang Cat Fashion Week

  • Juara: Nor Anis Halyatie Binti Halim (Kucing: Evian) 
  • Naib Juara: Nur Farahin Binti Zakaria (Kucing: Juny) 
  • Tempat Ketiga: Sharifah Nurulawwal Binti Sayed Abd Rahman (Kucing: Chibbu) 
  • Anugerah FELIX: Siti Rohani Binti Abdul Hamid (Kucing: Goyem) 


Finalis Lain: 

  • Zakry Bin Shazryl (Kucing: Winter) 
  • Siti Khadijah Binti Hassan (Kucing: Mocha) 
  • Nurmayani Binti Asmuni (Kucing: Kristoff) 
  • Nurul Izzah Binti Ramli (Kucing: Omey)

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!

Image via SAYS Seismik