KPM Perkenal Kaedah ‘Co-Teaching’, Dua Guru Dalam Satu Kelas Bermula Tahun 2027
Bagi menekankan keseimbangan antara pencapaian akademik dan pembentukan karakter pelajar.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Kaedah co-teaching, atau pengajaran melibatkan dua guru dalam satu bilik darjah, bakal menjadi antara elemen utama dalam Kurikulum Persekolahan 2027
Usaha baharu Kementerian Pendidikan (KPM) yang memberi penekanan kepada keseimbangan antara kecemerlangan akademik dan pembinaan sahsiah pelajar.
Pendekatan ini dilihat selari dengan aspirasi KPM untuk melahirkan murid yang bukan sahaja unggul dalam bidang ilmiah, tetapi turut memiliki jati diri yang kuat, disiplin tinggi serta nilai adab dan moral yang mantap.
Menerusi laporan Berita Harian, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, menjelaskan kaedah co-teaching diperkenalkan bagi menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) lebih menarik serta efektif melalui kerjasama dua guru dalam satu kelas.
Pendekatan ini merupakan antara elemen baharu dalam kurikulum yang turut menekankan pembelajaran bersepadu merangkumi beberapa subjek dalam satu sesi.
Beliau berkata guru telah diberikan latihan bersesuaian dan memberikan maklum balas positif terhadap inisiatif tersebut.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Image via NSTP/Mohd Fadli HamzahMenurutnya, kaedah ini diyakini dapat memastikan setiap murid menerima perhatian yang lebih menyeluruh serta membantu mengurangkan masalah keciciran.
"Dalam kaedah 'co-teaching', dua guru bekerjasama dalam satu kelas, ia bukannya seorang guru dibantu pembantu pengajar, tetapi gabungan dua tenaga pengajar setara yang memainkan peranan bagi menjadikan sesi pembelajaran lebih berkesan dan menarik minat pelajar.
"Kita yakin kaedah 'co-teaching' membabitkan interaksi aktif dalam kelas ini dilihat sebagai jalan terbaik untuk memastikan setiap pelajar mendapat perhatian sewajarnya, sekali gus dapat mengatasi masalah keciciran pembelajaran.
"Selain itu, berbeza dengan kurikulum lama yang menekankan nilai hanya dalam subjek Pendidikan Islam atau Moral, kurikulum baharu ini nanti juga menuntut semua guru sama ada Sains, Bahasa Inggeris, Matematik atau subjek lain mengintegrasikan nilai dan karakter dalam pengajaran masing-masing," katanya.
Fadhlina yakin kaedah co-teaching berkesan untuk anak-anak
Menjawab persoalan mengenai kesesuaian sistem pendidikan negara untuk melaksanakan kaedah co-teaching, Fadhlina menegaskan KPM optimis berdasarkan kejayaan pendekatan itu di negara lain.
Beliau menjelaskan kaedah berkenaan mampu menawarkan pengalaman PdP lebih interaktif, seiring dengan keperluan murid masa kini yang lebih terdedah kepada teknologi.
"Melalui sistem ini, anak-anak kita akan mendapat banyak kelebihan, khususnya sistem pembelajaran yang lebih interaktif dan menarik.
"Zaman ini, anak kita lebih dekat dengan gajet, jadi kita memerlukan satu pendekatan yang lebih segar dan menarik untuk mereka fokus pada pembelajaran di sekolah.
"Ia boleh dilakukan sama ada dua guru berada dalam satu kelas atau dengan menggabungkan dua kelas untuk sesi pembelajaran sama," katanya.
Berhubung kebimbangan mengenai tekanan terhadap guru, Fadhlina menjelaskan KPM sebenarnya sudah melakukan persiapan rapi melalui sesi penataran dan peningkatan mutu pendidikan yang bermula pada sesi akademik 2025/2026.
"Sesi pendaftaran untuk sesi 2026 sudah bermula tahun ini, maknanya kita akan bersedia untuk sesi persekolahan pada 2027.
"Malah guru juga sudah bersedia dengan sesi pembelajaran bersepadu ini kerana ia bakal menjadi pengalaman baharu untuk mereka," katanya.

Program akan dilaksanakan selama 60 minit setiap minggu
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebelum ini menetapkan Program Pembentukan Karakter akan dijalankan selama 60 minit setiap minggu dalam Kurikulum Persekolahan 2027, merangkumi murid sekolah rendah dan menengah.
Program itu akan dimasukkan terus dalam jadual waktu bagi memastikan pelaksanaannya lebih sistematik, dengan fokus kepada penghayatan nilai, adab serta tingkah laku positif dalam kehidupan harian pelajar.
Menurut KPM, reformasi kurikulum yang bermula 2027 itu tidak mengubah teras pendidikan negara, sebaliknya memantapkan pendekatan pembelajaran agar lebih relevan dengan keperluan semasa, termasuk penekanan terhadap kemahiran dan pembelajaran bersepadu.
"Perubahan hanya berlaku dari segi pendekatan cara pengajaran, contohnya pembelajaran bersepadu dibuat iaitu pelajar boleh belajar subjek Bahasa Inggeris, Sains dan muzik dalam satu sesi pembelajaran yang diubahsuai menjadi lebih menarik.
"Gabungan dua guru mengajar pada kelas sama dapat menangani masalah kelas padat yang menyebabkan pelajar sukar memberi tumpuan yang akhirnya menyebabkan keciciran.
"Sementara kita melaksanakan intervensi terhadap kemudahan fizikal dan persekitaran sekolah, pendekatan co-teaching ini alternatif terbaik bagi memastikan suasana pembelajaran lebih kondusif dan berkesan," katanya.
Tanam dan bentuk nilai asas serta karakter pelajar sejak peringkat awal usia
Berhubung pelaksanaan pembentukan karakter yang dimulakan secara berperingkat bermula dengan murid prasekolah tahun depan sebelum diperluas kepada Tahun Satu dan Tingkatan Satu pada 2027.
Fadhlina menjelaskan bahawa inisiatif itu dirangka bagi membentuk asas nilai sejak usia awal, selain menggalakkan penglibatan aktif ibu bapa dan komuniti.
Menurutnya, murid prasekolah lebih mudah dibentuk kerana mereka belajar melalui pemerhatian dan peniruan, sekali gus memberi peluang kepada ibu bapa dan guru bergerak seiring dalam mendidik anak.
"Murid prasekolah mudah dibentuk, mereka belajar melalui pemerhatian dan peniruan. Pada peringkat ini, ibu bapa lebih dekat dengan anak, jadi mereka boleh bersama-sama guru membina karakter dan nilai murni.
"Kita tidak mahu lagi budaya menyalahkan, bukan ibu bapa, guru atau sekolah yang bersalah, sebaliknya pembentukan karakter anak-anak mesti dilakukan bersama.
"Bila sesi persekolahan bermula tahun depan, semua guru prasekolah sudah bersedia melaksanakan pendekatan baharu ini, manakala latihan sama untuk guru Tahun Satu dan Tingkatan Satu pula akan bermula pada 2026," katanya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 