Korea Utara Haramkan Implan Payudara, Pesalah Boleh Dihukum Berat
Langkah itu mencerminkan kawalan ekstrem rejim terhadap aspek peribadi rakyat, termasuk penampilan diri.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Korea Utara dilapor melancarkan tindakan keras terhadap wanita yang disyaki menjalani pembedahan implan payudara
Ia setelah kerajaan pimpinan Kim Jong Un menganggap prosedur kosmetik itu sebagai perbuatan "tidak sosialis" dan "berunsur kapitalis."
Menurut laporan The Telegraph yang memetik sumber tempatan, pihak keselamatan kini menjalankan pemeriksaan ketat bagi mengesan wanita yang menunjukkan perubahan fizikal mencurigakan.
Langkah itu mencerminkan kawalan ekstrem rejim terhadap aspek peribadi rakyat, termasuk penampilan diri.
Pemimpin jawatankuasa kejiranan turut dilapor menerima arahan khusus untuk memantau penduduk setempat dan melaporkan individu yang disyaki menjalani pembedahan kosmetik kepada pihak berkuasa bagi tujuan siasatan lanjut.

Gambar sekadar hiasan.
Image via JohnqcookmdPembedahan estetik dianggap sebagai 'perbuatan tidak sosialis'
Dalam undang-undang semasa Korea Utara, sebarang bentuk pembedahan estetik termasuk pembesaran payudara atau pembedahan kelopak mata berganda dianggap sebagai "perbuatan tidak sosialis" dan dilarang sama sekali oleh kerajaan pimpinan Kim Jong Un.
Mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan hukuman berat, termasuk penjara atau kerja paksa, bergantung kepada tahap kesalahan.
Langkah keras itu dilaksanakan tidak lama selepas seorang doktor dan dua wanita berusia 20-an dihadamkan ke perbicaraan awam di dewan kebudayaan bandar Sariwon, wilayah Hwanghae Utara, pertengahan September lalu.
Doktor berkenaan dilapor tidak memiliki kelulusan perubatan penuh, selepas berhenti sebelum menamatkan pengajian dalam bidang pembedahan.

Kim Jong-un, pemimpin tertinggi dan diktator Korea Utara.
Image via Seattle TimesPendakwa raya dalam hujahnya mendakwa dua wanita terbabit telah "dicemari oleh adat borjuis" serta "terjerumus dalam tingkah laku kapitalis yang rosak", satu tuduhan yang mencerminkan sentimen politik keras negara itu terhadap budaya barat.
Dalam prosiding itu, hakim turut menegaskan bahawa tertuduh "tidak menunjukkan kesetiaan kepada organisasi dan kumpulan, sebaliknya terperangkap dalam sifat mementingkan diri serta menjadi 'rumpai beracun' yang menghakis sistem sosialis."
Sebagai bahan bukti, pihak berkuasa mempamerkan alatan perubatan, silikon yang diseludup serta sejumlah wang tunai, menjadikan perbicaraan itu satu bentuk amaran terbuka kepada rakyat supaya tidak melanggar garis ideologi yang digariskan rejim.
Sebahagian penduduk yang menyaksikan perbicaraan awam itu dilapor berbelah bahagi ada yang mengecam doktor terbabit kerana "melakukan apa sahaja demi wang", sementara yang lain menzahirkan simpati, menyifatkan dia mungkin "tidak mempunyai jalan lain untuk mencari rezeki."
Laporan sama turut menyebut bahawa ramai wanita di bandar Sariwon kini hidup dalam ketakutan, khuatir diperiksa atau disoal siasat sekiranya disyaki pernah menjalani sebarang prosedur kosmetik.
Pemerhati antarabangsa pula menilai langkah keras itu sebagai usaha berterusan rejim Korea Utara untuk mengekang pengaruh budaya luar dan memastikan rakyat terus patuh kepada ideologi sosialis tulen yang digariskan oleh pemimpinnya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 