Kodak, Lagenda Fotografi Kini Berdepan Risiko ‘Gulung Tikar’ Selepas 133 Tahun Beroperasi
Lejen betul Kodak ni, sayangnya.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Sebut saja Kodak, ramai yang akan teringat zaman kamera filem dan album gambar yang penuh dengan memori
Syarikat itu pernah menjadi raja dalam dunia fotografi dengan sejarah gemilang dan pelbagai inovasi hebat. Tetapi nampaknya, era kegemilangan itu mungkin akan berakhir tidak lama lagi.
Menurut laporan CNN, syarikat fotografi Eastman Kodak yang berusia 133 tahun baru-baru ini memberi amaran serius kepada para pelabur bahawa mereka mungkin tak mampu bertahan lama.
Kodak kini berdepan kerugian besar dan bergelut untuk membayar hutang. Dalam laporan pendapatan Isnin lalu, syarikat tersebut mengaku tidak mempunyai 'pembiayaan komited atau kecairan yang tersedia' untuk membayar kira-kira USD500 juta hutang.
"Kami mungkin tak mampu meneruskan operasi seperti biasa," kata pihak Kodak.

Difahamkan, sekarang mereka cuma ada USD150 juta tunai dalam tangan jauh dari cukup untuk menampung hutang jangka pendek
Akibatnya, saham Eastman Kodak (KODK) menjunam lebih 25% dalam dagangan tengah hari Selasa lalu.
Walau bagaimanapun, Kodak optimis mereka boleh menyelesaikan isu ini dengan menggunakan hasil daripada penamatan pelan persaraan pekerja untuk mengurangkan hutang. Mereka juga bercadang mengubah, melanjutkan atau membiayai semula baki hutang dan obligasi saham.

Bukan kali pertama berhadapan dengan kebankrapan
Sebenarnya, ini bukan kali pertama Kodak berada di ambang kebankrapan. Pada tahun 2012, mereka pernah memfailkan kebankrapan sebelum bangkit semula pada tahun berikutnya melalui penjualan aset dan penyusunan semula perniagaan.
Sejak itu, Kodak cuba mempelbagaikan bisnes ke bidang percetakan komersial dan farmaseutikal. Namun, cabaran pasaran yang semakin kompetitif dan permintaan pengguna yang berubah-ubah terus membelenggu mereka.
Kalau benar Kodak terpaksa menutup operasi kali ini, ia bakal menandakan berakhirnya sebuah legasi yang sudah 133 tahun mencipta sejarah dalam dunia fotografi.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 