KLIA Tempat Kedua Lapangan Terbang Paling Sibuk Di Asia Tenggara – OAG Aviation
Lapangan Terbang Changi kekal di tempat pertama, manakala Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta pula di tempat ketiga.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kini berada di tangga kedua lapangan terbang paling sibuk di Asia Tenggara, menurut laporan terbaharu oleh OAG Aviation, penyedia analisis perjalanan global yang berpusat di United Kingdom (UK)
Menurut laporan Berita Harian, berdasarkan data setakat September 2025, KLIA mencatatkan 3.32 juta tempahan tempat duduk, menunjukkan peningkatan 7.5% berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
Lapangan Terbang Changi, Singapura kekal di tempat pertama dengan 3.58 juta tempahan, manakala Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Jakarta berada di tangga ketiga.
Pengarah Pusat Kajian Kes Pengurusan dan Kepimpinan UUM, Prof Dr Narentheren Kaliappen, berkata pencapaian KLIA ini bukan sekadar angka, tetapi menggambarkan pemulihan ekonomi dan pertumbuhan pelancongan negara selepas pandemik.

"Aliran trafik penumpang di KLIA menggambarkan peningkatan kemasukan pelancong ke Malaysia sekali gus menunjukkan momentum yang kukuh dan tahap keyakinan yang semakin meningkat.
"Syarikat penerbangan kini memperluaskan laluan mereka melalui Malaysia dan semakin banyak pelancong memilih KLIA bukan sahaja sebagai tempat transit tetapi juga sebagai hab destinasi," katanya.
Malaysia menerima 27 juta pelawat antarabangsa pada tahun 2024, dan dijangka meningkat kepada 31 juta pada tahun ini, bersamaan kenaikan 15%
Angka tersebut juga memberi asas kukuh untuk kempen Tahun Melawat Malaysia 2026, yang menyasarkan 45 juta pelancong dengan pulangan RM270 bilion.
Pada tahun lalu, Lapangan Terbang Changi merekodkan sekitar 69 juta penumpang, manakala KLIA mencatatkan kira-kira 57 juta penumpang. Walaupun masih ada jurang, KLIA berkembang lebih pantas, menunjukkan potensinya sebagai hab penerbangan utama rantau ini.
Lapangan Terbang Soekarno-Hatta, Jakarta pula kekal di kedudukan ketiga dengan 49–55 juta penumpang setahun.
KLIA dijangka terus berkembang

Narentheren berkata, untuk mengekalkan momentum ini, KLIA perlu menangani cabaran kapasiti, meningkatkan pengalaman penumpang, dan memperkukuh inisiatif hijau agar terus relevan di peringkat global.
Beliau juga menyarankan KLIA memperluaskan laluan jarak jauh, termasuk ke Amerika Utara, Afrika, dan bandar-bandar kecil di Eropah, untuk menjadikan KLIA sebagai hab penerbangan serantau yang lebih kompetitif.
"Pencapaian ini membuktikan Malaysia semakin hampir mencapai hasrat menjadikan KLIA sebagai lapangan terbang bertaraf dunia, dibantu oleh kelebihan dua gergasi penerbangan — Malaysia Airlines dan AirAsia.
"Ia mengukuhkan ekonomi tempatan daripada sektor hotel hingga kepada pengendali pengangkutan dan peruncit selain mewujudkan pekerjaan dan membina jenama antarabangsa Malaysia.
"Secara ringkasnya, apabila KLIA berkembang pesat bukan sahaja sektor penerbangan yang mendapat manfaat tetapi seluruh ekonomi turut maju bersamanya," katanya lagi.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 