KLIA Mula Kuat Kuasa Sistem VAMS Hari Ini, Hanya 10 Minit Dibenarkan Ambil & Turun Penumpang
Pengguna VAMS dikecualikan caj jika mengambil atau menghantar penumpang di bawah 10 minit.
Cover image via Berita HarianFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Sistem Pengurusan Akses Kenderaan (VAMS) di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) mula beroperasi sepenuhnya hari ini, bertujuan memperkemas aliran trafik dan melancarkan akses di kawasan tepi jalan terminal
Menurut laporan Berita Harian, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) menjelaskan, VAMS menawarkan caj percuma bagi kenderaan yang digunakan untuk menghantar atau mengambil penumpang, asalkan tempoh berada di tepi jalan tidak melebihi 10 minit.
Walau bagaimanapun, caj penalti akan dikenakan secara automatik jika tempoh masa tersebut dilangkau.
Struktur caj penalti yang dikenakan adalah seperti berikut: RM10 bagi tempoh 10 minit 1 saat hingga 15 minit (10:01–15:00), RM30 untuk tempoh 15:01–20:00, RM60 bagi 20:01–25:00, dan RM100 jika melebihi 25 minit sehingga 30 minit (25:01–30:00).
MAHB menjelaskan, VAMS berfungsi dengan merekodkan masa masuk setiap kenderaan secara automatik menggunakan teknologi Pembaca Nombor Pendaftaran (LPR).
"Tempoh ihsan 10 minit disediakan bagi urusan menghantar atau mengambil penumpang dengan cepat. Skrin digital di lokasi pula akan memaparkan nombor pendaftaran kenderaan yang melebihi had 10 minit.
"Semasa keluar, sistem mengira tempoh keseluruhan kenderaan berada di kawasan itu secara automatik dan kenderaan yang melebihi had akan dikenakan penalti sehingga maksimum RM100.
"Pembayaran boleh dibuat menggunakan Touch 'n Go, kad kredit atau MyDebit," kata kenyataan itu.

Sistem ini bertujuan untuk melancarkan aliran trafik, mengurangkan kesesakan, dan membendung aktiviti ulat teksi
Sistem berkenaan dilaksanakan dengan tujuan utama untuk memastikan aliran trafik di kawasan tepi jalan (kerbside) lebih lancar, mengurangkan kesesakan, membendung aktiviti ulat teksi, dan mengukuhkan keselamatan kawasan tersebut secara menyeluruh.
Menurut MAHB, fasa percubaan VAMS telah menunjukkan keberkesanan dan perubahan positif dalam tingkah laku pemanduan.
Jumlah kenderaan yang melebihi had 10 minit di kerbside telah menurun dengan ketara, iaitu daripada 50 peratus kepada 21 peratus dalam tempoh tiga bulan percubaan.
Data ini, yang menunjukkan tahap kerjasama pengguna yang tinggi dan pengurangan kesesakan, telah mengukuhkan keperluan untuk beralih kepada penguatkuasaan penuh secara berfasa.

Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Mohd Izani Ghani, turut mengesahkan kejayaan fasa percubaan tersebut.
"Data percubaan menunjukkan kesesakan di kawasan kerbside bertambah baik apabila kenderaan mematuhi had masa 10 minit."
Beliau menambah, dengan pelaksanaan penuh bermula 1 Disember di Terminal 1.
"Kita memastikan akses ke terminal kekal teratur dan semua orang mendapat peluang yang adil bagi menggunakan laluan mengambil dan menghantar penumpang dengan lebih cekap.
"Konsistensi ini amat penting apabila kita memasuki musim puncak perjalanan hujung tahun dan bersiap sedia untuk Tahun Melawat Malaysia 2026," katanya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



