KKM Dalam Misi Hapus Vape & Rokok Elektronik Secara Menyeluruh
Langkah itu bagi mengawal penggunaan vape demi melindungi kesihatan awam, khususnya golongan muda.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini dalam perancangan untuk melaksanakan pengharaman sepenuhnya terhadap penggunaan dan penjualan rokok elektronik atau vape
Ia sebagai langkah tegas menangani isu tersebut secara lebih menyeluruh.
Menerusi laporan Harian Metro, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, pelaksanaan pengharaman ini bagaimanapun perlu dilakukan dengan teliti dan berhati-hati, memandangkan ia melibatkan pelbagai aspek penting termasuk implikasi perundangan, keupayaan penguatkuasaan serta kesan terhadap kesihatan awam secara keseluruhan.
Malah, penelitian menyeluruh sedang dijalankan bagi menilai keberkesanan langkah kawalan sedia ada serta keperluan dasar yang lebih komprehensif demi melindungi kepentingan kesihatan rakyat secara keseluruhan.
"Bagi mencapai kawalan yang lebih menyeluruh, khasnya dalam agenda pengharaman sepenuhnya terhadap penjualan dan penggunaan rokok elektronik atau vape, ia masih lagi di bawah kuasa kerajaan persekutuan.
"Seiring dengan itu, KKM sedang menuju ke arah pengharaman sepenuhnya terhadap penggunaan dan penjualan rokok elektronik atau vape bagi mengekang isu ini secara lebih berkesan," katanya.

Gambar sekadar hiasan.
Image via Berita HarianSambut baik keputusan enam negeri yang tidak memperbaharui lesen penjualan vape
Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly turut menyambut baik inisiatif enam kerajaan negeri iaitu Johor, Kelantan, Terengganu, Perlis, Kedah dan Pahang yang mengambil pendekatan tegas dengan tidak mengeluarkan atau memperbaharui lesen penjualan vape di negeri masing-masing.
Beliau menyifatkan langkah tersebut sebagai satu isyarat sokongan yang selari dengan usaha kerajaan Persekutuan dalam memperkukuh kawalan terhadap penggunaan rokok elektronik demi melindungi kesihatan awam, terutamanya golongan muda.
"Kementerian menyambut baik keputusan tersebut memandangkan kuasa pelesenan premis perniagaan terletak di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) di bawah kerajaan negeri.
"Pendekatan ini juga sejajar dengan aspirasi untuk melindungi kesihatan awam.
"Namun begitu, kawalan yang dilaksanakan pada masa ini hanya membabitkan larangan penjualan produk merokok di premis tertentu seperti kedai khas dan tidak merangkumi kedai runcit atau serbaneka," katanya.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Image via Harian MetroDifahamkan, buat masa ini, KKM memberi keutamaan kepada pendekatan kawal selia yang ketat terhadap produk merokok melalui pelaksanaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).
"(Ia) merangkumi keperluan pendaftaran produk, larangan pengiklanan, promosi dan tajaan, kawalan terhadap penjualan serta larangan merokok di tempat kawasan larangan merokok," katanya.
Tambah beliau, melalui pendekatan menyeluruh, KKM sedang melaksanakan operasi penguatkuasaan bersepadu dinamakan 'Operasi Selamat Paru-Paru (Ops Selamat PaPa) yang akan dilancarkan secara rasmi pada 1 Ogos ini.
"Operasi ini bertujuan memastikan penguatkuasaan Akta 852 dapat dijalankan secara menyeluruh, bersepadu dan berkesan di seluruh negara," katanya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 