Ketua Pesuruhjaya SPRM Terbuka Untuk Disiasat Oleh Mana-Mana Jawatankuasa Bebas
Menurutnya, beliau tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menegaskan beliau bersedia untuk disiasat oleh kerajaan berhubung isu pegangan saham yang didakwa dimilikinya

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki
Image via Berita HarianMenerusi kenyataan di laporan Berita Harian, beliau terbuka untuk disiasat oleh mana-mana jawatankuasa bebas yang ditubuhkan kerajaan bagi meneliti secara khusus perkara berkaitan pemilikan saham tersebut.
Menurutnya, beliau tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan kerana semua pengisytiharan kewangan dan harta telah dibuat selaras dengan peraturan perkhidmatan awam yang berkuat kuasa, sebagaimana diwajibkan ke atas setiap penjawat awam.
"Saya mengalu-alukan sebarang proses yang telus, bebas dan objektif bagi menentukan fakta berasaskan bukti serta mengikut prinsip keadilan dan keluhuran undang-undang.
Pendekatan sedemikian penting bukan sahaja untuk mempertahankan integriti peribadi saya, malah bagi mengekalkan keyakinan rakyat terhadap SPRM sebagai sebuah institusi," katanya.
Kenyataan itu dibuat susulan gesaan beberapa pihak termasuk Ahli Parlimen dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) agar kerajaan serta pihak berkuasa berkaitan bertindak terhadap dakwaan yang dilaporkan dalam laporan Bloomberg baru-baru ini
Beliau turut menegaskan bahawa sebagai penjawat awam dan ketua kepada sebuah agensi penguatkuasaan, beliau percaya mana-mana individu yang berdepan dakwaan sewajarnya bersikap terbuka serta bersedia untuk disiasat secara bebas dan telus.
"Prinsip ini harus terpakai kepada semua tanpa pengecualian. Budaya akauntabiliti tidak boleh bersifat terpilih atau bermusim," tegasnya.
Sepanjang tempoh perkhidmatannya, beliau menegaskan komitmen terhadap prinsip ketelusan, akauntabiliti dan kedaulatan undang-undang sentiasa menjadi pegangan utama.
Katanya, beliau akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada mana-mana mekanisme sah yang ditubuhkan secara wajar bagi meneliti perkara berkenaan.
"Saya yakin kebenaran akan dapat ditegakkan melalui suatu proses yang adil dan bebas," katanya lagi.
Dalam masa sama, beliau memaklumkan bahawa SPRM sentiasa mengambil maklum setiap laporan dan aduan yang dikemukakan oleh mana-mana pihak, termasuk NGO, serta akan menilai setiap maklumat berdasarkan undang-undang dan fakta yang diperoleh melalui proses siasatan yang sah.
"Tiada siapa berada di atas undang-undang, dan tiada siapa juga yang harus dihukum melalui persepsi atau naratif media semata-mata," katanya.
Lihat video kenyataan di bawah:
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 