Kes Buli IKBN Miri: 7 Pelajar Terlibat Kini Digantung Seminggu & Elaun Dihentikan
Peti aduan akan diperluas bagi memudahkan pelajar melapor segera dan mencegah kejadian berulang.
Cover image via Berita HarianFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Tujuh pelajar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Miri yang terbabit dalam insiden gurauan melampau menyerupai perbuatan buli seperti tular dalam rakaman video di media sosial baru-baru ini, digantung pengajian selama seminggu bermula 24 September
Menerusi laporan Berita Harian, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, memaklumkan bahawa Mesyuarat Lembaga Tatatertib Pelajar IKBN yang diadakan semalam turut menetapkan beberapa tindakan susulan.
Antaranya termasuk pemberhentian serta-merta elaun pelajar terbabit, kewajipan melaksanakan kerja amal, keperluan melapor diri secara berkala kepada pegawai disiplin, selain larangan keluar kampus atau outing selama sebulan.
"Mangsa dan pelajar terbabit juga diwajibkan mengikuti sesi kaunseling yang diaturkan oleh IKBN Miri," katanya.

Gurauan keterlaluan, tidak boleh diterima sama sekali
Dalam pada itu, Hannah juga menegaskan bahawa kementerian memandang serius insiden berkenaan kerana gurauan keterlaluan tidak boleh diterima sama sekali, selain dianggap budaya tidak sihat serta bercanggah dengan nilai institusi pendidikan.
Beliau berkata, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kekal berpendirian bahawa perlakuan keterlaluan tidak boleh dipandang ringan memandangkan institusi pendidikan mesti menjadi persekitaran selamat serta berintegriti dalam membina sahsiah belia.
"Antara langkah pencegahan yang diputuskan termasuk pemantauan lebih kerap oleh Unit Hal Ehwal Pelajar, sesi motivasi serta kaunseling berterusan dengan bantuan Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Kesihatan (KKM)," katanya.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
Image via Sinar HarianMenurutnya lagi, langkah tambahan turut diambil dengan melantik Pegawai Perhubungan Institut bagi melaksanakan program pencegahan keganasan dan buli bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), termasuk sesi ceramah suku tahunan.
Hannah turut memaklumkan bahawa pelaksanaan peti aduan akan diperluaskan bagi memudahkan pelajar menyalurkan aduan dengan segera, sekali gus memastikan kes seumpama itu tidak berulang pada masa hadapan.
Baru-baru ini, tular rakaman video berdurasi 13 saat memaparkan sekumpulan pelatih lelaki mengangkat seorang rakan mereka dalam keadaan kaki terkangkang sebelum menghentaknya ke tiang, sekali gus mencetuskan kebimbangan orang ramai berhubung kemungkinan ia kes buli.
Terdahulu, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata, memaklumkan bahawa pelajar IKBN Miri yang menjadi mangsa dalam kejadian itu serta bapanya tidak mahu meneruskan tindakan undang-undang walaupun polis sudah membuka kertas siasatan.
Sementara itu, Hannah berkata, pihaknya menghormati keputusan mangsa serta ahli keluarga yang enggan meneruskan tindakan undang-undang, namun kementerian tetap perlu bertindak bagi memastikan insiden serupa tidak berulang.
"Mereka adalah kawan baik dan testimoni daripada guru menunjukkan pelajar-pelajar ini bukan dalam kalangan yang mempunyai masalah disiplin," katanya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



