Kereta Bertukar ‘Bilik Bersalin’, Pemandu E-Hailing Beri Tambang Percuma Wanita Lahirkan Anak
Difahamkan, wanita itu mula menahan kontraksi sejak jam 3 pagi, namun lewat dibawa ke hospital.
Cover image via Norwinn Mohammad (Facebook)Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Seorang pemandu wanita e-hailing, Norwin Mohamad, 39, berdepan pengalaman paling mendebarkan dalam kerjayanya apabila penumpang yang dibawanya tiba-tiba melahirkan bayi dalam kenderaan
Menerusi laporan Harian Metro, kejadian luar biasa itu berlaku sekitar jam 7.30 pagi.
Norwin, yang baru setahun menyediakan perkhidmatan sewa kereta, sedang menunggu penumpang di Bandar Letat, Sandakan sebelum didatangi beberapa individu yang tergesa-gesa mengangkat seorang wanita yang sedang menahan sakit bersalin.
Menceritakan detik cemas itu, Norwin berkata, dalam perjalanan ke Hospital Duchess of Kent, wanita berusia dalam lingkungan 20-an itu tiba-tiba bersalin.
Situasi itu serta-merta mencetuskan panik dalam kalangan penumpang lain, termasuk suami dan bapa wanita tersebut.

Tak minta bayaran kerana kasihan dan memahami situasi
Norwin menceritakan, sebagai seorang isteri yang mempunyai lima orang anak, dia tidak berasa begitu gementar melihat situasi itu. Sebaliknya, dia meminta mereka bertenang dan terus memandu.
Namun, dia mengakui berasa kasihan dengan keadaan bayi tersebut.
"Saya cuma kasihan melihat bayi itu kerana sebaik disambut oleh seorang wanita yang bersama mereka yang saya kira 'bidan kampung', bayi itu tidak menangis," katanya.
Dia difahamkan wanita itu mula menahan kontraksi sejak jam 3 pagi, namun lewat dibawa ke hospital kerana dipercayai mereka adalah warga asing.
Sebaik sahaja tiba di Hospital Duchess of Kent, beliau tidak sempat mendapatkan maklumat peribadi mereka.
"Saya tidak sempat mendapatkan maklumat mereka. Sebaik sampai di hospital, saya terus membawa kereta untuk dicuci. Saya harap bayi itu baik-baik saja," tambahnya.

Atas dasar simpati dan memahami keadaan mereka, Norwin juga tidak meminta sebarang bayaran daripada penumpang.
Rasa kasihan itu bertambah apabila dia melihat suami wanita terbabit menanggalkan baju sendiri untuk mengelap darah yang memenuhi permukaan tempat duduk keretanya.
"Saya kata tidak apa sebab saya faham perasaan mereka," ujar Norwin, sambil menambah bahawa bapa serta suami wanita itu berulang kali meminta maaf atas insiden yang menyebabkan keretanya berlumuran darah.
Jelas Norwin, tindakannya itu mendapat perhatian warganet.
"Saya juga tidak sangka selepas memuat naik gambar di laman sosial, ada beberapa pusat cuci kereta menghubungi saya dan menawarkan bantuan mencuci kereta secara percuma.
"Mereka cakap mahu bantu kerana saya sudah bantu orang," katanya.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



