Kerajaan Tetapkan Harga Runcit RON95 Tanpa Subsidi RM2.60 Seliter Hingga 8 Oktober
Harga runcit petrol bersubsidi RON95 bagi sektor pengangkutan awam darat dan pengangkutan barangan darat ditetapkan pada RM2.05 seliter bagi tempoh sama.
Cover image via BernamaFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Harga runcit petrol RON95 tanpa subsidi ditetapkan pada kadar RM2.60 seliter bagi tempoh 30 September hingga 8 Oktober 2025, demikian menurut Kementerian Kewangan (MOF)
Dalam satu kenyataan hari ini, MOF menjelaskan bahawa kerajaan akan terus memantau perkembangan pasaran minyak serta menyelaras harga runcit RON95 dengan mengambil kira faktor pergerakan harga pasaran global dan keperluan mengekalkan kestabilan harga dalam negara.
"Dengan pelaksanaan program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) mulai 30 September 2025, harga runcit RON95 tanpa subsidi ditetapkan pada RM2.60 seliter.
"Melalui pendekatan penyasaran subsidi BUDI95 ini membolehkan warganegara Malaysia menikmati harga bersubsidi petrol RON95 pada RM1.99 seliter," menurut kenyataan itu.
Menurut Kementerian Kewangan (MOF), di bawah pelaksanaan BUDI95, rakyat akan menikmati manfaat subsidi sebanyak RM0.61 seliter. Berdasarkan had kelayakan 300 liter, jumlah subsidi yang dapat dinikmati boleh mencecah sehingga RM183 sebulan bagi setiap individu.

Kerajaan sedang berurusan dengan EHO bagi pemandu e-hailing yang layak menerima had tambahan petrol bersubsidi
Sementara itu, MOF turut memaklumkan bahawa harga runcit petrol bersubsidi RON95 bagi sektor pengangkutan awam darat dan pengangkutan barangan darat di bawah Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) ditetapkan pada kadar RM2.05 seliter bagi tempoh sama.
Dalam perkembangan berkaitan, harga runcit petrol RON97 dikekalkan pada paras RM3.21 seliter, manakala harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia kekal pada kadar RM2.93 seliter. Di Sabah, Sarawak dan Labuan pula, harga runcit diesel turut kekal pada RM2.15 seliter.
MOF menegaskan kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara.
Bagi pemandu e-hailing, kerajaan sedang berurusan dengan Penyedia Perkhidmatan E-hailing (EHO) untuk mengenal pasti mereka yang layak menerima had kelayakan tambahan petrol bersubsidi.

MOF bersama Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dijangka memuktamadkan proses permohonan had tambahan itu dengan pihak EHO dalam minggu ini.
"Kerajaan juga telah bersetuju mempertimbangkan supaya pengendali bot, terutamanya di Sabah dan Sarawak, layak untuk harga bersubsidi," menurut kenyataan MOF.
Kementerian itu menjelaskan, kerajaan kini sedang bekerjasama dengan agensi serta kerajaan negeri yang terlibat untuk mengumpul data pemilik bot, bagi memastikan mereka tidak tercicir daripada menikmati manfaat harga bersubsidi di bawah skim BUDI95.


Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



