Kerajaan Sekat Penggunaan Kad Kredit & Debit Asing Untuk Pembelian Petrol Di Pam
KPDN dengan kerjasama syarikat minyak secara berperingkat akan menyekat pembelian petrol menggunakan transaksi sedemikian.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Sekatan terhadap penggunaan kad kredit serta kad debit warga asing bagi pembelian petrol RON95 di seluruh stesen minyak negara akan dilaksanakan secara berperingkat bermula Rabu ini
Memetik laporan Berita Harian, Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Adam menjelaskan bahawa langkah tersebut bertujuan memastikan subsidi RON95 hanya dimanfaatkan oleh rakyat yang berkelayakan, selain mengelakkan penyalahgunaan oleh pihak tidak bertanggungjawab termasuk pengguna kenderaan bernombor pendaftaran luar negara.
"Ini antara mekanisme baharu untuk kita kawal pembelian dan penjualan petrol RON95 di semua stesen minyak dalam negara.
"Isunya sebelum ini ada banyak kes kenderaan dengan nombor pendaftaran asing yang isi minyak menggunakan kad debit atau kad kredit asing di terminal layan diri pam minyak.
"Oleh itu, sukar untuk pihak stesen minyak dan pihak berkuasa untuk kesan, jika mereka buat pembelian petrol RON95," katanya.

Wajib lakukan pembayaran di kaunter stesen minyak
Azman menjelaskan bahawa KPDN dengan kerjasama syarikat minyak akan menyekat transaksi pembelian petrol tersebut secara berfasa, yang mana pengguna kad kredit atau kad debit asing diwajibkan melakukan pembayaran di kaunter stesen minyak.
Menurut beliau lagi, inisiatif ini bertujuan memudahkan urusan pemantauan oleh pengusaha stesen serta pihak berkuasa, sekali gus menjamin pematuhan yang lebih tegas terhadap peraturan sedia ada yang telah ditetapkan.
"Bagi stesen minyak yang misalnya ada lebih daripada 15 pam, sukar untuk mereka kesan jika berlaku ketirisan. Dengan cara ini, bila pengguna mesti buat bayaran di kaunter, kita dapat pastikan mereka yang tak layak tidak dapat isi RON97.
"Ada beberapa syarikat minyak yang sudah bersedia sepenuhnya dan beberapa lagi akan memulakannya secara berperingkat," katanya.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Adam.
Image via Berita HarianAmbil pendekatan yang lebih agresif
Dalam pada itu, Azman menyatakan bahawa KPDN kini mengambil pendekatan yang lebih agresif bagi menangani sebarang gangguan bekalan bahan api yang berisiko menjejaskan ekonomi negara, termasuklah menguatkuasakan larangan sepenuhnya terhadap penjualan serta pembelian petrol RON95 bagi kenderaan berpendaftaran asing bermula Rabu depan.
Beliau turut menambah bahawa pada tarikh yang sama, pengusaha stesen minyak di Sabah, Sarawak, dan Labuan diarah untuk mengawal jualan diesel kepada kenderaan pengangkutan darat mengikut kategori tertentu dengan had antara 50 liter, 100 liter, hingga 150 liter bagi setiap transaksi.
Langkah ini diambil bagi memastikan bekalan diesel bersubsidi pada harga RM2.15 seliter di wilayah berkenaan tidak dieksploitasi oleh sindiket penyeludupan atau sektor industri yang tidak berkelayakan, selain menjamin agar subsidi tersebut benar-benar dinikmati oleh rakyat Malaysia.
"Seramai 2,400 pegawai penguat kuasa KPDN di seluruh negara bersiap siaga melaksanakan pemeriksaan dan pemantauan di lapangan," katanya.
Melalui Ops TIRIS 4.0, Azman menyatakan KPDN akan memperkukuh kerjasama strategik dengan agensi keselamatan dan penguat kuasa lain bagi membanteras ruang penyelewengan serta ketirisan bekalan.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 