Kerajaan Sedia Sita Akaun Bekas Suami Gagal Bayar Nafkah, Bakal Disekat Melalui Mahkamah Syariah
Tiada lagi alasan culas nafkah ya.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Langkah untuk menyita simpanan kewangan bekas suami yang gagal atau culas membayar nafkah kini sedang diusahakan oleh kerajaan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar
Menurut laporan Sinar Harian, Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) di bawah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) telah mengadakan perbincangan bersama Bank Negara Malaysia (BNM) bagi membolehkan pelaksanaan penyitaan akaun bank dilakukan melalui perintah Mahkamah Syariah.
"Jadi, yang ini akan dibuat oleh pihak BSK dan perbincangan itu telah dibuat dengan Bank Negara," katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar
Image via Sinar HarianBeliau menjawab soalan daripada Dr Abd Ghani yang ingin tahu tentang mekanisme pemantauan yang diwujudkan kerajaan melalui BSK dan BNM bagi memastikan sekatan akaun bank terhadap bekas suami atau bapa yang gagal menunaikan tanggungjawab nafkah dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Perkukuh penguatkuasaan & kesedaran penanggung nafkah
Mohd Na'im menjelaskan, kerajaan turut memperkukuh tindakan penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah melalui pelbagai kaedah undang-undang, termasuk usaha meningkatkan kesedaran dalam kalangan penanggung nafkah, bukan hanya suami atau bapa, tetapi juga waris sebagaimana ditetapkan oleh undang-undang dan hukum syarak.
Selain itu, difahamkan BSK juga sedang menjalankan usaha untuk memberi kesedaran kepada para penanggung nafkah anak-anak dalam kalangan waris, selain suami atau bapa sebagaimana yang ditetapkan undang-undang dan hukum syarak bagi memastikan mereka melaksanakan tanggungjawab sebaiknya.
Tambah beliau, tindakan penguatkuasaan turut diperhebat melalui kerjasama antara agensi kerajaan seperti:
- Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN)
- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)
- Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM)
- Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO)
- Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)
Langkah tersebut bertujuan untuk mengesan majikan serta alamat terkini penghutang penghakiman, sekali gus memudahkan tindakan lanjut.
"Melalui pendekatan pelbagai seperti pendahuluan nafkah, bantuan tanpa kutipan balik, kemudahan transit serta penguatkuasaan tegas terhadap penghutang bagi memastikan kebajikan pemiutang penghakiman dapat dipelihara.
"Langkah jangka panjang ini bukan sahaja menjamin kesinambungan perkhidmatan BSK, malah memperkukuh sistem kehakiman syariah demi menjaga hak wanita, anak-anak dan kesejahteraan institusi kekeluargaan Islam," katanya lagi.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 