Kerajaan Sasar Larangan Guna Akaun Media Sosial Untuk Bawah 16 Tahun Mulai Tahun Hadapan
Larangan berkenaan berasaskan keputusan Kabinet bagi mengekang jenayah siber rentas usia
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Kerajaan mensasarkan pelaksanaan larangan membuka akaun media sosial bagi individu berusia bawah 16 tahun bermula tahun depan, menurut Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil
Menerusi laporan Berita Harian, langkah ini dibuat susulan keputusan Kabinet yang mahu memperkukuh perlindungan keselamatan digital, khususnya bagi mengekang jenayah siber yang turut menyasarkan kanak-kanak dan remaja.
Fahmi berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Penutup Seminar Kesedaran Penipuan Siber Komuniti India Lembah Pantai, semalam.
Beliau menegaskan bahawa usaha ini penting bagi memastikan golongan bawah umur tidak terdedah kepada risiko dalam talian, termasuk pemangsa seksual.
"Kita harap menjelang tahun depan, platform-platform media sosial akan akur dengan keputusan kerajaan untuk melarang kanak-kanak bawah 16 tahun membuka akaun media sosial," katanya.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Image via NSTP/Raihana MansorSalah satu mekanisme yang dipertimbang ialah melaksanakan pengesahan eKYC
Beliau turut menjelaskan bahawa kerajaan sedang meneliti mekanisme paling sesuai untuk memastikan penguatkuasaan berjalan lancar.
Selain melalui Akta Keselamatan Dalam Talian dan Akta Komunikasi dan Multimedia, kerajaan sedang mengkaji pelaksanaan had umur umum seperti yang dilakukan beberapa negara termasuk Australia.
"Negara yang berbeza mungkin mengambil pendekatan yang berbeza, namun kita akan mengkaji kaedah yang paling sesuai untuk memastikan mereka di bawah umur 16 tahun dihalang daripada mempunyai akaun media sosial," katanya.

Gambar sekadar hiasan.
Image via Exhale DesignAntara mekanisme yang sedang dipertimbangkan adalah kewajipan melaksanakan pengesahan eKYC menggunakan dokumen pengenalan diri rasmi seperti MyKad, pasport atau MyDigital ID.
Kaedah ini dijangka menjadi antara syarat utama bagi memastikan pemilik akaun benar-benar melepasi had umur yang ditetapkan.
"Kita menjangkakan platform dapat melaksanakannya menjelang tahun depan. Saya percaya bahawa jika kerajaan, badan kawal selia dan ibu bapa memainkan peranan masing-masing, kita dapat memastikan internet di Malaysia bukan sahaja pantas, meluas dan mampu milik, tetapi yang paling penting, selamat, khususnya untuk kanak-kanak dan keluarga" tambahnya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 