Kerajaan Larang Warga Asing Beli Minyak Masak Subsidi Bermula 1 Mac Ini
KPDN kini sedang berbincang dengan Jabatan Peguam Negara berhubung pelaksanaan itu.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, memaklumkan bahawa golongan warga asing tidak lagi dibenarkan untuk membeli minyak masak bersubsidi bermula 1 Mac depan
Memetik laporan Berita Harian, langkah tegas ini akan dilaksanakan mengikut peruntukan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang bersandarkan kepada punca kuasa Akta Kawalan Bekalan 1961.
Menurut beliau lagi, pihak kementerian sedang memperincikan mekanisme pelaksanaan tersebut melalui perbincangan lanjut bersama Jabatan Peguam Negara bagi memastikan penguatkuasannya berjalan lancar.
"Jika sebelum ini, melalui penguatkuasaan undang-undang, ada pihak menggesa supaya dilarang penjualan dan pembelian oleh warga asing, namun premis peruncitan membangkitkan isu praktikal… bagaimana prosedur operasi standard (SOP), penguatkuasaan dan pemantauan.
"Jadi, dengan adanya larangan ini, kita dapat memastikan subsidi itu akan dimanfaatkan oleh warganegara dan tidak dibuka ruang itu kepada warga asing," katanya.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali.
Image via BernamaKuota 3 paket bagi setiap ahli isi rumah
Menjawab persoalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) mengenai keperluan kuota tambahan bagi keluarga miskin yang besar serta integrasi sistem, Datuk Armizan Mohd Ali menjelaskan bahawa KPDN kini menetapkan had pembelian sebanyak tiga paket bagi setiap ahli isi rumah melalui aplikasi eCOSS.
Beliau menegaskan bahawa buat masa ini, sistem eCOSS tidak menetapkan kuota khusus secara borong mengikut isi rumah, sebaliknya kawalan dilakukan secara individu bagi memastikan agihan yang lebih saksama.
"Jika ada isi rumah yang memerlukan lebih, kita tidak hadkan oleh anak, isteri, bapa untuk membeli. Jadi, tidak ada isu berbangkit jika ada keperluan tambahan," katanya.

Beliau menjelaskan kepada Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) bahawa ketiadaan sistem pemantauan rekod pembelian individu menjadi punca utama isu penyelewengan minyak masak bersubsidi masih berleluasa.
Masalah ini berlaku kerana sebelum ini tiada mekanisme khusus untuk menjejak aktiviti pembelian secara menyeluruh bagi mengesan salah laku.
"Selain itu, salah satu faktor lagi adalah pembelian minyak masak terpakai, yang harganya sekarang adalah RM4 per kilogram (kg), sedangkan kita menjual minyak masak bersubsidi pada harga RM2.50.
"Jadi, maksudnya dengan membeli minyak masak paket, dicampur aduk dan dijual sebagai minyak masak terpakai pun sudah boleh untung RM1.50," katanya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 