Kerajaan Beri Jaminan Bekalan Cukup, Rakyat Diminta Jangan Buat Pembelian Panik Menjelang Aidilfitri
Difahamkan, pemantauan itu melibatkan kerjasama pelbagai kementerian termasuk Kementerian Pertanian serta pihak industri seperti pemborong, pengeluar dan peruncit.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Menjelang sambutan Aidilfitri yang semakin hampir, orang ramai dinasihatkan supaya tidak melakukan pembelian panik kerana bekalan barangan keperluan di pasaran adalah mencukupi
Menurut laporan Kosmo!, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali, memberi jaminan bahawa kerajaan sentiasa memantau bekalan serta pergerakan harga barangan bagi memastikan keadaan kekal stabil sepanjang musim perayaan.
Menurut beliau, pemantauan itu bukan sahaja dilakukan oleh KPDN, malah melibatkan kerjasama pelbagai kementerian termasuk Kementerian Pertanian serta pihak industri seperti pemborong, pengeluar dan peruncit.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali
Image via Kosmo!Dalam masa sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengarahkan setiap kementerian untuk meneliti keadaan semasa dan menyediakan pelan kontingensi bagi menghadapi sebarang kemungkinan yang boleh menjejaskan bekalan barangan
"Saya ingin berikan jaminan di sini, jangan khuatir, jangan ada pembelian panik untuk perayaan ini kerana dari segi bekalan untuk perayaan ini bukan hanya hingga 1 Syawal tapi hingga 30 hari Syawal insya-Allah bekalan itu sudah ada dalam negara, bekalan mencukupi.
"Kita telah pun membuat persiapan pemantauan awal bersama dengan Kementerian Pertanian dan juga pemborong, pengeluar dan juga peruncit kita. Jadi jangan ada, jangan khuatir sepanjang perayaan ini," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Armizan turut memaklumkan bahawa kerajaan memberi perhatian serius terhadap isu bekalan bahan api, termasuk risiko berlakunya penyeludupan
Menurut beliau, walaupun penyasaran subsidi diesel dan RON95 telah dilaksanakan sebelum ini, potensi penyeludupan masih wujud terutamanya apabila berlaku kenaikan harga minyak dunia serta perbezaan harga yang ketara dengan negara jiran.
"Walaupun kerajaan telah melaksanakan penyasaran subsidi diesel dan RON95 sebelum ini, risiko penyeludupan masih wujud terutama apabila harga minyak dunia meningkat dan terdapat perbezaan harga yang ketara berbanding negara jiran.
"Keadaan itu boleh mendorong kecenderungan untuk menyeludup bahan api ke luar negara atau berlakunya salah guna bekalan bersubsidi untuk kegunaan industri di dalam negara," katanya.
Sehubungan itu, KPDN akan terus mempergiatkan penguatkuasaan melalui operasi khas bagi memastikan aktiviti penyeludupan dapat dibendung.
Antara langkah yang diambil termasuk memperkukuh pelaksanaan Ops Tiris bagi memastikan bekalan bahan api bersubsidi tidak disalah guna atau diseludup keluar dari negara.
"Di peringkat KPDN, kita akan memberi tumpuan kepada pemantauan bekalan dan juga penguatkuasaan untuk memastikan bekalan mencukupi serta tidak berlaku penyeludupan atau penyalahgunaan subsidi," katanya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via 